Header Ads

Header ADS

FAS Nafi Fitnah Oleh Penulis Blog 'Sarawak Crocs'


KUCHING - Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menafikan kenyataan fitnah dikeluarkan oleh penulis blog (Sarawak Crocs) berhubung tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pemain-pemain skuad Sarawak yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Menurut Posa, ekoran daripada itu pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penulis blog berkenaan termasuk tindakan undang-undang.

“Kita telah mengenal pasti penulis blog berkenaan (Sarawak Crocs) yang telah menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap FAS berhubung tunggakan gaji selama empat bulan.

“Kita telah mendapatkan pandangan daripada peguam mengenai perkara ini dan seharusnya tindakan undang-undang diambil terhadap penulis blog berkenaan,” katanya di sini semalam.

Posa berkata, kenyataan yang dikeluarkan dalam laman blog berkenaan seolah-olah sengaja mahu memburukkan nama FAS dan pihaknya seakan-akan sudah hilang sabar dengan apa yang dilakukan oleh penulis blog berkenaan yang beliau sifatkan selama ini ‘anti FAS’.

“Sarawak Croc selama ini memang ‘anti FAS’ dan diketahui perosak kepada sukan bola sepak di negeri ini,” tambahnya.

Beliau turut mencabar mana-mana pemain yang merasakan gaji mereka belum dibayar oleh FAS selama empat bulan itu untuk menyaman beliau.

Dalam perkembangan sama, Posa menegaskan, skuad musim ini akan dibubarkan sepenuhnya membabitkan pemain-pemain, jurulatih dan pengurusan.

“Kita akan bubarkan pasukan musim ini mencakupi pemain-pemain, jurulatih dan pengurusan. Keputusan ini telah dimuktamadkan dan skuad musim depan akan dibarisi pemain-pemain baharu,” jelasnya.

Katanya, sesi pemilihan pemain bagi skuad baharu akan diadakan awal bulan November depan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.