Header Ads

Header ADS

See Chee How Bersetuju Pemberian Royalti 20 Peratus BerasakanDaripada Keuntungan Bersih


KUCHING - Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) See Chee How menyokong penuh pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berhubung dengan pemberian royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus ke atas Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata, inilah kali pertama dalam tempoh 43 tahun, sejak tahun 1976 Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan menawarkan pemberian royalti minyak ke atas Sarawak untuk dieksploitasi bagi pembangunan negeri.

"Pakatan Harapan tidak menafikan janji pilihan raya untuk meningkatkan royalti petroleum ke Sarawak dan Sabah kepada 20 peratus seperti dijanjikan dalam manifesto.

"Ini langkah pertama kepada menunaikan janji dan saya sangat gembira.

"Saya berterima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang sedang melaksanakan tindakan yang perlu untuk merealisasikan janji penting ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR Sarawak di sini, hari ini.

Jelas Chee lagi, walaupun pemberian royalti minyak dan gas itu berdasarkan 20 peratus hasil daripada keuntungan, tetapi pemberian itu tetap memberi nilai yang banyak berbanding 5 peratus ketika ini.

"Memang benar bahawa 20 peratus royalti minyak dan gas itu datangnya daripada nilai keuntungan bersih, iaitu tambahan 5 peratus royalti masih kurang daripada "20 peratus atau setaraf", tetapi tiada siapa yang boleh menafikan hakikat bahawa Kerajaan Pakatan Harapan kini berada di landasan yang betul untuk menyampaikan lebih banyak peruntukan untuk Sarawak," katanya yang bangga dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan PH ini.

Berbeza di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun dan 43 tahun tahun lagi di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Syarikat Petrolium Nasional Bhd (Petronas) telah melaksanakan kuasa penuhnya terhadap minyak dan gas, namun pampasan bagi hak petroleum kita kekal 5 peratus.

"Apabila BN dan sekarang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjuk jari mereka kepada pimpinan kita (Pakatan Harapan), bahawa mereka mempunyai empat jari lagi yang menunjuk pada diri mereka sendiri. 

"Selama 43 tahun, mereka ini telah tunduk kepada Kerajaan Persekutuan BN yang dipimpin oleh UMNO dan tidak membuat keputusan cuba untuk memperjuangkan perkongsian dan pengagihan kekayaan minyak yang lebih saksama bagi Sarawak," katanya.

Bagi mereka (pemimpin GPS) telah membuang peluang selama empat dekad dalam mendapatkan 20 peratus royalti minyak dan gas Sarawak sehingga mengkritik Kerajaan Persekutuan PH yang bersetuju memberikan 20 peratus royalti daripada keuntungan bersih.

"Di dalam Kerajaan PH, kami mendapatkan royalti minyak dan gas yang adil untuk Sarawak bagi keperluan pembangunan negeri ini.


"Dengan janji 20 peratus royalti minyak dan gas, saya percaya akan ada mekanisme dan perubahan institusi untuk memastikan bahawa lebih banyak projek Petronas di Sarawak akan dilaksanakan dan bukannya membenarkan syarikat yang berkaitan dengan politik atau hak istimewa untuk menguasai kerja-kerja petroleum," ujarnya yang yakin Kerajaan PH akan menyampaikan dan memenuhi janji pilihan raya itu.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.