Header Ads

Header ADS

Pemilik Tanah Diminta Beri Kerjasama Selesaikan Masalah Gangguan Elektrik Di Matu


MUKAH - Pemilik tanah terutama di daerah Matu harus memberi kerjasama kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah gangguan elektrik yang kerap melanda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata terdapat segelintir pemilik tanah tidak mahu memberi kebenaran supaya tiang elektrik lama di tanah milik mereka ditukar.

“Tiang elektrik usang perlu ditukar kerana tidak lagi mampu menampung bebanan serta tidak sesuai dengan keperluan bekalan elektrik semasa di Matu,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Matu 2018 Ahad lalu.

Secara berseloroh, beliau mengatakan hal itu tidak berkaitan dengan tindakan Kerajaan Sarawak kerana terdapat pihak cuba menuding jari kepada mereka.

“Kerajaan Sarawak sudah komited tentang hal ini, tetapi apa yang paling menyedihkan sebenarnya ia datang daripada isu seperti digembar-gemburkan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru penduduk memberi kerjasama kepada syarikat bertanggungjawab untuk segera menyelesaikan masalah itu demi kebaikan semua.

Gangguan bekalan elektrik kerap terjadi di Matu dan dicatatkan hampir setiap minggu.

Gangguan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi aktiviti harian masyarakat di daerah itu.

Pada masa sama, Juanda berterima kasih terhadap komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang banyak meluluskan projek sama ada berskala besar atau kecil di kawasan Igan dan Matu.

Abang Johari juga menepati janjinya pada dua bulan lalu, ketika itu di Igan memantau semua projek yang diluluskan.

Ketua Menteri merupakan tetamu khas Majlis Penangguhan Pesta Matu 2018 yang dikunjungi sekitar 5,000 pengunjung bermula 26 hingga 29 Julai lalu di pekan Matu. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.