Pasangan Suami Isteri Direman Bantu Siasatan Kes Tuntutan Palsu BTN Sarawak
KUCHING - Dua lagi individu yang juga pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan atau pembekalan kepada Biro Tatanegara Sarawak (BTN) di sini, semalam.
Perintah tahanan reman selama enam hari terhadap pasangan berusia 47 dan 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syukri Mokhtar yang membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasangan terbabit merupakan individu terbaharu ditahan SPRM pada jam 3 dan 4.20 petang kelmarin di pejabat SPRM Sarawak bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan yang melibatkan jumlah RM600,000.
Mereka merupakan individu keenam dan ketujuh direman selepas lima individu iaitu tiga lelaki dan wanita turut direman bagi membantu siasatan kes terbabit sebelum ini.
Dalam kenyataan media sebelum ini, lima individu berkenaan termasuk dua bekas Penolong Pengarah Kanan BTN Sarawak ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mereka dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja membabitkan 43 syarikat di seluruh Sarawak.
Siasatan mendapati kira-kira 70 peratus daripada perkhidmatan atau pembekalan yang didakwa dilaksanakan syarikat terbabit adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. -Utusan Borneo Online
No comments