Kematian Kanak-Kanak 2 Tahun Di Hospital Sibu Disahkan HFMD
SIBU - Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan di Hospital Sibu pada 28 Julai lalu disebabkan oleh Enterovirus 71 (EV71).
EV71 merupakan punca utama wabak jangkitan pernafasan akut teruk di Sarawak yang menyebabkan 31 kematian di kalangan kanak-kanak berumur antara lima bulan dan enam tahun pada pertengahan 1997.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menerusi mesej WhatsApp kepada The Borneo Post mengesahkan bahawa virus tersebut adalah punca kematian terbabit.
“Satu kematian di Pulau Pinang disahkan akibat EV71. Kes kematian di Sarawak juga disahkan EV71,” katanya.
Terdahulu, menurut satu kenyataan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa dari Kampung Pangtray, Daro yang disyaki dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mengalami demam pada 24 Julai dan menunjukkan ruam di tapak tangan dan kaki, selain ulser di dalam mulut pada keesokannya.
Kanak-kanak tersebut kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada Rabu dan didiagnos dengan disyaki dijangkiti HFMD serta telah menerima rawatan. Ibunya telah dinasihat untuk mendapatkan rawatan segera jika anaknya tidak sembuh.
Susulan itu, kanak-kanak terbabit dibawa ke Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Daro pada 27 Julai kerana keadaannya tidak stabil sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Namun demikian, kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia di hospital sama pada jam 2.08 pagi 28 Julai, kata Dr Noor Hisham.
Menurut sumber The Borneo Post, kakak mangsa berusia enam tahun telah dimasukkan ke hospital sehari selepas mangsa didapati menunjukkan simptom HFMD, namun sihat.
EV71 juga disahkan sebagai virus yang menyebabkan HFMD tersebut.
“Dia telah didiscaj dan pulang ke rumah dua hari lalu,” kata sumber tersebut.
Berhubung kes HFMD, Dr Lee berkata setakat semalam, sebanyak 40,949 kes dicatatkan di seluruh negara dengan 4,708 di Sarawak.
Ditanya sama ada EV71 yang mengorbankan 31 kanak-kanak pada 1997 di Sarawak kini kembali selepas tempoh hampir 10 tahun (kes terakhir direkodkan pada 2009) membimbangkan, Dr Lee berkata: “Setakat ini, kes kematian adalah terpencil namun kami memantau keadaan dengan rapi.”
Pada pertengahan 1997, wabak jangkitan pernafasan akut teruk di Sarawak menyebabkan kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung. -Utusan Borneo Online
No comments