Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Luluskan Pembinaan 3 Jalan Raya Bernilai RM172 Juta Di Kawasan Daro


MUKAH - Kerajaan Sarawak terus serius dalam membangunkan infrastruktur melalui kelulusan pembinaan tiga jalan raya penghubung utama di kawasan Daro dengan kos RM172 juta.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiga jalan yang bakal dibina mengikut fasa itu adalah Jalan Sebenak-Ilas serta Tanjung Manis-Sibu sepanjang 24 kilometer (km), Kampung Pasin-Matu sepanjang 16km dan Jalan Penasu-Nanga Semah sepanjang 10.2km.

“Jalan sepanjang 24km ini akan dibina terlebih dahulu dalam fasa pertama manakala dua lagi akan dibina dalam pembinaan fasa kedua,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Penasu, Daro pagi semalam.

Turut hadir Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.

Beliau berkata dengan kemudahan jalan raya penghubung itu nanti, ia secara langsung bakal mempertingkatkan aktiviti sosioekonomi setempat.

Lantas, ia juga akan memudahkan para petani dan pengusaha memasarkan produk keluaran mereka dengan adanya akses jalan raya serta perhubungan.

Abang Johari turut mengumumkan pembinaan penghadang hakisan sungai bagi keselamatan penduduk dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta selain RM400,000 untuk pembinaan masjid baharu di Penasu.

Satu projek bekalan air alternatif Sarawak (SAWAS) yang diminta Safiee ketika sidang DUN lalu turut diluluskan dengan menelan kos perbelanjaan RM4.3 juta.

Abang Johari menyifatkan semua usaha termasuk pembangunan dan hal-hal lain menyentuh kepentingan negeri seperti tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) serta penggalian minyak dan gas adalah satu amanah yang perlu dijaga demi kesejahteraan rakyat negeri ini secara keseluruhannya.

Beliau juga menganggap ia sebagai salah satu amanah dan tugas yang perlu digalas setelah menerima tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi negeri menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Sekitar 2,000 penduduk turut bersama meraikan lawatan Abang Johari ke Kampung Penasu itu. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.