Header Ads

Header ADS

Kastam Senarai 6,400 Barangan Akan Dikenakan SST Bermula 1 September Ini


KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berbanding 11,197 barangan yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, jumlah itu adalah sejajar dengan kehendak kerajaan yang tidak mahu meluaskan cukai seperti pelaksanaan GST.
“GST merangkumi 60 peratus daripada CPI basket (bakul indeks harga pengguna) berbanding SST yang hanya merangkumi 38 peratus namun ia akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita akan menyenaraikan senarai barangan mengikut kadar cukai 10 peratus dan 5 peratus di laman sesawang JKDM minggu depan bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat menyeluruh mengenai cukai tersebut,” katanya dalam sidang akhbar cukai SST di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, JKDM akan mendaftarkan lebih 70,000 syarikat pengeluar berkelayakan dalam sistem MySST secara automatik esok.
Katanya, untuk memudahkan urusan, data mengenai kesemua syarikat tersebut akan diambil daripada sistem MyGST.
“Sebelum ini, terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST dan kita akan memindahkan lebih 70,000 daripada jumlah tersebut ke dalam sistem MySST secara berperingkat-peringkat.
“Inisiatif ini diambil berikutan kekangan masa yang dihadapi sebelum SST dilaksanakan pada 1 September ini dan kita yakin cukai ini dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya persediaan awal dilakukan,” katanya.
Subromaniam berkata, ketika ini, lebih 14,000 orang daripada 5,000 syarikat telah menerima penerangan mengenai SST. -Utusan Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.