Header Ads

Header ADS

Berita Wakil Rakyat GPS Keluar Parti Sertai PRIBUMI Sebagai Mengarut


KUCHING - Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing hari ini menafikan laporan akhbar tabloid mengatakan dua wakil rakyat dari parti itu akan menyertai 'Parti Pribumi Sarawak' (PRIBUMI).

"Ini hanyalah palsu. Jangan terlalu memberi tumpuan atau mempercayai media sosial sebagai sumber berita kerana belum sahih kebenarannya, ia kemungkinan besar berita palsu," tegasnya kepada Utusan Borneo.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan percaya wakil-wakil rakyat PRS kekal setia kepada parti serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Ya, YB-YB Parti Rakyat Sarawak akan setia kepada GPS," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) , Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengatakan laporan akhbar tabloid itu hanyalah khabar angin oleh pihak yang hendak memecah belah rakyat Sarawak.

"Ini adalah kerja orang gila. Rakyat termasuk di Sarawak sudah bijak pandai sekarang ini. Bukan seperti rakyat dalam tahun 1963 yang mudah ditipu oleh janji- janji kosong," katanya.

Laporan akhbar tabloid berkenaan memetik jurucakap PRIBUMI sebagai berkata, kini sembilan sembilan wakil rakyat GPS bersedia menyertai parti itu selepas tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS menyatakan hasrat sama.

Jurucakap PRIBUMI itu menambah daripada jumlah keseluruhan itu, tujuh adalah wakil rakyat didakwa dari PBB manakala dua lagi dari PRS.

Beliau turut mendakwa tindakan sembilan wakil rakyat terbabit disebabkan hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi GPS, khususnya PBB yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

"Lebih 50 tahun mentadbir Sarawak, PBB didapati gagal dan semakin lemah. Jadi, enam Ahli Parlimen dan tiga ADUN sudah bersedia untuk 'berhijrah' dan menyertai PRIBUMI sebagai wadah baharu perjuangan mereka.

"Satu hari yang sesuai akan tiba bagi mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PRIBUMI," katanya yang dipetik sebagai berkata, hari ini. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.