Header Ads

Header ADS

Sarawak Mahu Penjelasan Berhubung Kenyataan Pemberian 20 Peratus Royalti Minyak


KUCHING - Kerajaan Sarawak meminta penjelasan terperinci daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung bayaran 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan kepada Sarawak termasuk negeri pengeluar petroleum lain.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (foto) berkata royalti dan keuntungan adalah tidak sama, dan Sarawak mahu penjelasan mengenai perkara ini.

"Saya sudah cakap mengenai hal ini sebelum ini, dan kita akan dapatkan penjelasan kerana royalti dan keuntungan adalah tidak sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Negeri Ke-51 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan untuk memberi royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak termasuk Sarawak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata dana tersebut hanya disalurkan terus kepada kerajaan negeri jika ia digunakan untuk rakyat, bukan bertujuan memperkukuhkan kedudukan politik.

“Kami berjanji untuk beri royalti seperti yang dijanjikan dulu, tidak akan ada penyelewengan tapi kami berharap royalti diguna untuk kebaikan negeri dan tidak disalah guna untuk kuatkan parti dan lain-lain.

“Ini bukan hak Kelantan dan Terengganu sahaja, ia terkena semua kawasan dan negeri yang keluarkan minyak berdasarkan keuntungan,” katanya merujuk pemberian royalti sebanyak 20 peratus termasuk Sarawak.

Sarawak dalam pada itu menuntut bayaran 20 peratus royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan perolehan dan bukannya keuntungan.

Jika royalti dibayar berdasarkan keuntungan, jumlah yang dibayar mungkin lebih kecil daripada 5 peratus ketika ini bergantung kepada harga minyak dunia dan kos pengeluaran. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.