Header Ads

Header ADS

SABERKAS Sokong Perjuangan Ketua Menteri Sarawak Kembalikan Hak Sarawak


KUCHING - Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) sebulat suara menyokong penuh perjuangan Presidennya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri dalam mengembalikan hak Sarawak.

Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun perjuangan itu mempunyai unsur politik, tetapi ia amat penting demi kesejahteraan Sarawak.

“Kita amat memerlukan pemulangan hak minyak dan gas ini kerana dengan cara ini sahaja negeri kita Sarawak dapat setara dengan pembangunan negeri lain dalam Malaysia.

“Walaupun perjuangan ini mempunyai unsur politik tetapi perjuangan ini amat penting demi kesejahteraan negeri dan rakyat kita,” katanya pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Terdahulu, Abdul Karim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Negeri Ke-51 di hotel yang sama selepas ucaptama oleh presiden mereka.

Tambah Abdul Karim, SABERKAS turut merancang pelbagai aktiviti yang menjurus kepada belia antaranya program sukan dan program turun padang bersama belia di daerah-daerah.
“Memandangkan kita kini mempunyai kewangan yang kukuh, maka buat pertama kalinya kita memberikan peruntukan kepada semua 75 cawangan untuk mereka menjalankan aktiviti.

“Kita juga merancang untuk melebarkan kerjasama dengan persatuan-persatuan belia di rantau ini bermula dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan juga di Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina,” ujarnya sambil menambah keahlian SABERKAS kini mencecah 41,000 orang.

Dalam pada itu, mesyuarat semalam turut menyaksikan lantikan Exco SABERKAS bagi sesi 2017-2020 bagi jawatan tertentu secara lantikan oleh presiden.

Antara lantikan bagi jawatan Naib Presiden yang dipegang oleh Datuk Liwan Lagang, Dato Sebastian Ting dan Martin Ben, Setiausaha Agung Safie Ahmad, Timbalan Setiausaha Agung, Mohamad Razi Sitam dan Kho Swee Aik dan Penolong Setiausaha Agung, Fazzrudin Abdul Rahman, Sulhie Salleh, Gabriel Jatu dan Charles Jabu Ahat.

Lantikan lain termasuklah bagi setiausaha penganjur, penolong setiausaha penganjur, bendahari kehormat, penolong bendahari kehormat serta enam ahli jawatankuasa. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.