Header Ads

Header ADS

Sarawak Antara Lima Negeri Yang Diberi Keutamaan - Baru Bian


KUCHING - Sarawak antara lima negeri yang akan diberi keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam pembangunan infrastruktur yang dianggap mundur dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata empat lagi negeri ialah Sabah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Katanya antara pembangunan yang perlu diberi keutamaan ialah kemudahan lebuh raya, jalan negeri, lapangan terbang dan universiti.

“Ini adalah perancangan saya untuk lima tahun akan datang dan ia relevan bagi lima negeri ini yang dianggap ketinggalan serta miskin di antara negeri-negeri lain di Malaysia.

“Namun pada masa sama saya percaya dari segi infrastruktur, bukan sahaja lima negeri tetapi negeri-negeri lain, infrastrukturnya tidak memuaskan tetapi fokus utama kita ialah lima negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Kerja Raya selepas memasuki pejabat di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur semalam.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata beberapa projek infrastruktur yang telah diluluskan akan dilaksana mengikut jadual dan perlu dilaksana dalam tempoh lima tahun iaitu sehingga 2020.

“Kita akan melaksanakan projek-projek yang telah diluluskan kecuali kalau ada keperluan kita mengkaji semua kemungkinan dari segi kos dan kebolehlaksanaannya.

“Tapi projek yang telah dilulus dan ditandatangani oleh pihak-pihak tertentu akan dilaksanakan,” ujarnya.

Tambahnya KKR perlu diberi bidang kuasa membina jalan raya selain Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak bagi memastikan jalan-jalan yang baik kualitinya dapat dibina menghubungkan bandar dengan luar bandar termasuk kawasan tanah tinggi.

“Bagi kes Sarawak misalnya, harus ada jalan yang baik kualitinya menghubungkan kawasan tanah tinggi seperti Long Semadoh, Ba’Kelalan, Bario, Ulu Kapit dan lain-lain dengan bandar.

“Infrastruktuu adalah katalis kepada pembangunan di kawasan ini seterusnya memajukan industri pelancongan di situ,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata KKR memerlukan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun bagi membaiki dan menyelenggara jalan persekutuan yang rosak di seluruh negara.

Menurutnya sejak tiga tahun lepas KKR hanya mendapat anggaran RM600 juta hingga RM800 juta setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan berkenaan walaupun terdapat beberapa permohonan untuk meningkatkan jumlah peruntukan itu.

“Sekarang baharu saya faham kenapa jalan yang kita ada sekarang ini di ‘patch’ sahaja kerana peruntukan yang diberi tidak mencukupi, malah tidak mencapai 15 peratus pun.

“Sedangkan saya diberitahu yang kita perlu buat penurapan jalan setiap enam hingga tujuh tahun, kalau tidak status jalan tu akan jadi ‘bad’ (teruk), dan sekarang kita ada 30 peratus jalan persekutuan berada dalam kategori ‘poor and bad condition’,” katanya.

Justeru beliau akan membawa isu peruntukan itu kepada mesyuarat kabinet akan datang untuk tindakan susulan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.