Header Ads

Header ADS

Chong Diharap Fokus Kepada Isu-Isu Kepenggunaan Di Sarawak - COVAS


KUCHING - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baharu, Chong Chieng Jen diharap akan lebih memfokus kepada isu-isu kepenggunaan di Sarawak. 
Presiden Suara Pengguna Sarawak (COVAS) Michael Tiong berkata dalam jangka pendek, rakyat iaitu pengguna sudah tentu berharap Chong melihat isu-isu kos sara hidup dan cara terbaik mengurangkan beban ditanggung pengguna dalam perbelanjaan harian. 
Beliau juga percaya rakyat negeri ini khasnya mahukan kementerian berkenaan mewujudkan persekitaran seimbang antara peniaga dan pengguna. 
“Kita berharap YB Chong Chieng Jen akan lebih memfokus kepada isu-isu kepenggunaan termasuk harga barang di negeri ini khasnya di luar bandar kerana penduduk di situ kurang pendedahan kepada maklumat mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna. 
“Pengguna di luar bandar harus tahu hak-hak mereka dan tahu apa harus dilakukan serta siapa boleh dirujuk apabila berdepan ketidakadilan peniaga yang tidak bertanggungjawab selepas membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam. 
Tiong berkata demikian bagi mengulas pelantikan Chong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baharu kelmarin. 
Beliau berkata rakyat Sarawak sudah tentu berasa bangga kerana ada anak Sarawak dilantik di peringkat kementerian.
“Tahniah kepada YB Chong atas pelantikan beliau. Secara umumnya, ia merupakan berita gembira kepada rakyat Sarawak terutama pengguna.
“Ini menandakan satu lagi inisiatif kerajaan baharu yang akan memperjuangkan hak-hak pengguna di negeri ini khasnya dan Malaysia amnya,” katanya. 
Tiong turut memberitahu bahawa COVAS akan bekerjasama dengan kementerian itu dan Chong untuk meningkatkan lagi kesedaran pengguna di negeri ini mengenai hak-hak mereka. 
Menurutnya masih ramai pengguna di negeri ini tidak melaksanakan hak-hak mereka kerana tidak mengetahui saluran yang betul untuk mengemukakan aduan lebih-lebih melibatkan isu atau kes rumit. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.