Profesor Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud berkata, secara profesionalnya pemegang UEC tidak layak diterima masuk ke universiti awam kerana memiliki masalah bahasa Melayu yang kurang berkualiti dan pengetahuan sejarah yang tidak diajar sepatutnya seperti dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
"Bagaimana kita nak terima dan iktiraf UEC, kita kena profesional. Jika diterima pelajar ini nanti akan bermasalah dan kita mesti berlaku adil kepada mereka, jika tak pandai dalam bahasa Melayu kenapa kita perlu paksa mereka masuk, nanti universiti terpaksa membuat kelas peralihan khas buat mereka.
"Ini hanya akan membuang masa dan merugikan masa depan pelajar UEC ini juga, jadi sepatutnya jika mahu menerima UEC ini perlu ada syarat iaitu diubah kurikulum sijil itu supaya menepati kelayakan minimum untuk masuk ke universiti, " katanya. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam Bicara Persada 47; Pasca PRU-14: Benarkah Pemartabatan Bahasa Kebangsaan Masih Belum Terungkai di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Turut menjadi panel dalam program tersebut ialah Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan. - UTUSAN ONLINE