Header Ads

Header ADS

GPS Akan Dimuktamadkan Bulan Ogos Ini


KUCHING - Segala urusan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dimuktamadkan menjelang bulan depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berasa gembira kerana kini meskipun GPS belum didaftar secara rasmi tetapi ia sudah mulai dikenali umum.

“Walaupun kita masih lagi dalam proses pendaftaran GPS, saya percaya semuanya akan dimuktamadkan pada bulan depan.

“Satu perkara saya perhatikan, meskipun kita dalam proses pendaftaran GPS tetapi semua sudah menerima kehadiran GPS menggambarkan kita sebagai GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Penyokong Sarawak (SBBC) dan Gawai 2018 yang dihadiri Pengerusi SBBC Paulus Palu Gumbang di sini, malam kelmarin.

Bukan itu sahaja kata beliau, di peringkat Parlimen, ahli-ahli GPS turut diiktiraf secara tidak langsung.

“Di Parlimen mereka (Ahli Parlimen) mempunyai blok khas di bawah GPS dan ia menandakan Parlimen juga mengiktiraf kehadiran GPS secara tidak langsung,” katanya.

Menurut beliau, selepas sahaja ia didaftar secara rasmi langkah seterusnya adalah untuk mempromosikan parti dan usaha di peringkat akar umbi.

Katanya, ia adalah antara usaha gigih yang perlu dilakukan semua ahli dalam usaha mengukuhkan lagi GPS yang akan dipengerusikan parti Sarawak sendiri.

“Seterusnya kita akan meneruskan usaha membangunkan negeri kita.

“Dengan model pengurusan hasil negeri serta Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) kita tidak ada masalah untuk dana dalam membangunkan negeri.

“Daripada perspektif itu, saya percaya kita dapat menyampaikan janji kita kepada rakyat,” tegasnya.

Sementara itu mengenai SBBC, beliau memuji tindakan ahli-ahlinya yang kini turut serta dalam berbahas dengan baik sepanjang Persidangan DUN.

Katanya, pada kali ini mereka telah membuat kajian yang baik untuk membidas dan melawan balik pihak pembangkang dalam membahaskan isu yang dibangkitkan.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Masing, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan menteri kabinet lain serta ADUN-ADUN daripada GPS. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.