Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Peruntukkan RM20 Juta Bina Loji Rawatan Air Bau


BAU - Permasalahan bekalan air bersih yang melanda sebahagian besar penduduk di Daerah Bau ini akan diatasi tidak lama lagi dengan pembinaan Loji Rawatan Air Bau. 

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Bau yang menelan belanja sebanyak RM20 juta akan memperkukuhkan lagi keperluan bekalan air bersih kepada penduduk di seluruh kawasan ini.

“Kerajaan persekutuan sebelum ini telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk menambah baik bekalan air di Bau, Lundu dan Sematan. 

“Tetapi untuk Bau sendiri, loji rawatan air diperlukan untuk memperkukuhkan bekalan air di kawasan ini. 

“Jadi, malam ini kita tidak perlu tunggu Putrajaya, kita guna dana kita sendiri, RM20 juta untuk loji rawatan air ini di Bau,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Gawai REDEEMS di Pusat REDEEMS, Kampung Apar, Singai di sini malam Sabtu lepas.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Pengerusi REDEEMS Datuk Peter Nansian Ngusie serta yang lain. 
Abang Zohari turut memaklumkan bahawa sebuah menara telekomunikasi akan dibina di Singai bagi mengatasi masalah liputan talian telekomunikasi.

"Saya telah mengarahkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) membina menara telekomunikasi di Singai. 

“Saya harap Datu Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ambil perhatian akan perkara ini di mana kita akan membina menara ini di sini. 

“Dengan adanya menara ini di sini nanti, ia akan dapat memperluaskan liputan jalur lebar dan juga Internet untuk menghubungkan semua penduduk di sini dengan masyarakat luar,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Zohari turut mengakui bahawa REDEEMS yang dibina ini telah banyak memperkukuhkan warisan budaya khususnya masyarakat Bidayuh. 
Malah, beliau yakin REDEEMS ini akan menjadi destinasi tarikan pelancongan baharu di daerah ini.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.