Kerajaan Negeri Sarawak Cadang Beri Peruntukkan Geran MRP Kepada Pembangkang
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg membayangkan akan memberikan peruntukkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang yang dijadual pada 9 hingga 17 Julai ini.
Tindakan ini mendapat reaksi positif daripada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung dengan cadangan Ketua Menteri Sarawak itu.
Beliau menyifatkan pemberian itu sebagai sesuatu yang positif dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
Malah, Karim juga membayangkan nilai peruntukan yang akan diterima pembangkang adalah tertinggi berbanding pemberian kepada pembangkang di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Saya tahu (jumlahnya). Ia lebih banyak berbanding jumlah yang diberikan oleh rata-rata negeri di Malaysia tetapi saya serahkan kepada ketua menteri mengumumkannya, jika tidak, tiada kejutan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Yoga Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Taman Budaya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Karim menjelaskan tidak mudah untuk wakil rakyat mengurus konstituensinya tanpa dana kerajaan.
“Walaupun mempunyai pejabat sendiri dan sebagainya, gaji wakil rakyat tidak mencukupi untuk menguruskan operasi pejabat, merancang dan sebagainya.
“Geran ini adalah perkembangan baharu dalam proses perundangan di mana kerajaan negeri hari ini yang belum pernah dilakukan sebelum ini, lebih proaktif dan melakukan sewajarnya.
“Saya dapat melihat negeri-negeri lain di Malaysia, negeri-negeri Pakatan Harapan (PH) melakukan perkara sama. Saya tidak berpendapat ia suatu yang baik jika Sarawak tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata biarlah ketua menteri sahaja yang boleh memberikan keputusan akhir dalam perkara ini.
“Ketua Menteri adalah CEO (ketua pegawai eksekutif) negeri. Beliau boleh memberi arahan dan semua akan mengadaptasi arahan itu, kabinet akan meluluskannya," ujarnya.
Beliau juga percaya semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyokong dasar itu kerana ‘kita sendiri bekerja dalam kebersamaan’.
“Menjadi parti yang lebih besar (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu - (PBB) dalam GPS, kami boleh mengatakan apa sahaja keputusan ketua menteri atau presiden (PBB) atau pengerusi GPS, akan dilihat secara positif oleh parti komponen lain,” ujarnya lagi.
No comments