Header Ads

Header ADS

Kadar Royalti Minyak Ikut Pengeluaran Di Pelantar Dan Medan Minyak Setiap Unit - Idris Buang


KUCHING - Sarawak harus mengenakan kadar royalti mengikut keluaran pelantar dan medan minyak dengan setiap unit yang digunakan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang secara peribadi berpendapat ia umpama empangan hidro seperti Batang Ai, Murum dan sebagainya membayar royalti pada kadar satu sen seunit kepada Kerajaan Sarawak.

“Petronas harus membayar royalti minyak pada kadar RMX setong atau gas pada kadar RMX bagi setiap unit termal dan inilah royalti yang sepatutnya. 

“Bukannya dikenakan sesuka hati sahaja oleh mereka (Petronas dan kerajaan persekutuan) tanpa terma kita sama sekali.

“Sebagai pemilik mutlak sumber kita, kita seharusnya yang mengenakan kadar royalti dan terma lesen yang mereka mesti ikut sebelum menjalankan perniagaan minyak dan gas di wilayah kita,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Semalam BERNAMA dipetik sebagai berkata meka-nisme pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas akan dibincangkan serta perlu diperhalusi oleh kerajaan dan syarikat petroleum nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mencapai kata sepakat, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata, royalti dan penyertaan ekuiti merupakan dua perkara berlainan. Kata beliau royalti adalah hak mutlak kita untuk me-ngenakannya manakala penyertaan ekuiti adalah satu pilihan.

“Bagaimana kita mahu menetapkan kadar royalti mungkin bergantung (tetapi tidak semestinya) kepada jumlah ekuiti yang kita mahu sertai – ini adalah satu perkara untuk rundingan.

“Kita perlu dinasihati oleh pakar kita sendiri (bukan pakar mereka) mengenai sejauh mana kita mahu menanggung risiko dalam perniagaan ini,” katanya.

Beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan Petronas kepada Sarawak adalah semata-mata paksaan yang tidak wajar atau penundukan semata-mata – iaitu Sarawak dikepung ke tahap di mana ia tidak ada pilihan sama sekali kecuali untuk hanya menerima apa yang dipaksa ke atas kita.

Tambahnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) diwujudkan di bawah penyamaran besar darurat dan keperluan ke-selamatan.

“Kita sekarang perlu menyemak semula semua rekod bagi kerja perlombongan minyak dan gas, output keseluruhan dan menuntut balik apa yang munasabah milik kita dan kita perlu meminta akaun mereka sejak hari mereka mula mencari gali sumber kita,” tegasnya.


Tambah beliau, Sarawak ada hak untuk mengaudit dan hak untuk mengesan semua akaun mengenai output pengeluarannya.


Idris menjelaskan ia adalah hak saksama dan hak sah sebagai pemilik hasil bumi negeri, tanah dan sumber yang ada di dalam bumi Sarawak. 

“Marilah kita lihat berapa banyak hutang mereka kepada kita. Saya percaya ia mungkin dalam lingkungan trilion ringgit,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.