Header Ads

Header ADS

Dr Kelvin Yii Kecewa Jawapan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Berhubung Pemberian Royalti 20 Minyak


KUCHING - Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii tetap teguh dengan prinsip yang dinyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pusat di mana royalti 20 peratus harus berdasarkan pengeluaran kasar atau setara nilai dijanjikan.

Beliau yang turut kecewa dengan pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berhubung pelaksanaan bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar belum dapat dilaksanakan, menjelaskan ia pastinya menjadi kebimbangan kepada rakyat Sarawak.

“Pengumuman menteri mengenai 20 peratus royalti minyak perlu berdasarkan keuntungan bersih berbanding pengeluaran kasar adalah menjadi kebimbangan dan kekecewaan bukan sahaja rakyat Sarawak tetapi saya sendiri.

“Saya tetap teguh dengan prinsip yang dinyatakan dalam manifesto kami (PH Pusat) di mana 20 peratus royalti adalah berdasarkan pengeluaran kasar atau setara nilai dijanjikan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Dr Yii berkata, sehubungan itu beliau bersama Ahli Parlimen PH Sarawak lain akan terus mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu terutama pada definisi perkongsian keuntungan tersebut dan paling penting formula yang sedang digunakan.

Namun katanya, Azmin ketika ditanya lagi menyatakan akan ada perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri berkaitan sama ada 20 peratus royalti berdasarkan keuntu-ngan bersih atau nilai kasar.

“Maka itu perbincangan sedang dijalankan dan kami akan terus menekankan hak kita (Sarawak) dan mendapatkan penyelesaian munasabah perkara ini.

“Dalam konteks Sarawak, ‘Perjanjian Baharu’, sebahagian daripada Manifesto kami secara jelas menyebut tentang 20 peratus royalti minyak, pulangan cukai 50 peratus kepada Sarawak dan autonomi dalam pendidikan serta penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata inti pati hasil pendapatan tambahan daripada royalti 20 peratus dianggarkan RM6 bilion mengikut harga minyak tahun lepas dan anggaran sebanyak RM3.5 bilion daripada 50 peratus cukai dikutip di Sarawak.

Selain itu Dr Yii menegaskan bahawa Ahli Parlimen PH akan mengambil perhatian terhadap kebimbangan industri minyak dan gas dan beliau secara peribadi telah berbincang dengan beberapa individu.

“Seperti mana dijawab oleh menteri mengenai persoalan yang saya sampaikan, akan ada rundingan lanjut dengan kerajaan negeri mengenai hal itu terutama berkaitan devolusi kekuasaan.

“Di samping itu, Jawatankuasa Kabinet Khas untuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan mengkaji perkara-perkara seperti hak-hak Sabah dan Sarawak untuk sumber semula jadi termasuk minyak dan gas dan mengkaji undang-undang yang berbeza dengan MA63. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.