Header Ads

Header ADS

DUN Sarawak Tidak Pernah Menyokong PDA 1974 - Abang Zohari


KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak pernah menyokong Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, isu hak ke atas sumber negeri khasnya petroleum amat dekat di hati rakyat Sarawak. “Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri ini tidak pernah menyokong PDA 1974.

“Matlamat kita ialah mengembalikan hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu perjanjian antarabangsa antara Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia, yang meletakkan Sarawak rakan kongsi sama taraf dengan Malaya (Semenanjung Malaysia) dan Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada hari terakhir Persidangan DUN, semalam. Persidangan pertama bagi Penggal Ketiga DUN Ke-18 bermula 9 Julai lalu.

Abang Johari yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata, antara hak-hak Sarawak ialah mempunyai undang-undangnya sendiri termasuk dibentuk sebelum penubuhan persekutuan.

Menurutnya, Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 Sarawak merupakan undang-undang yang baik dan masih berkuat kuasa hari ini.

Beliau menambah, OMO 1958 memberi Sarawak kuasa kawal selia penuh ke atas semua individu atau syarikat terlibat dalam operasi industri minyak dan gas di negeri ini.

Petronas katanya, mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa OMO 1958 secara tersiratnya telah termansuh dengan penguatkuasaan PDA.

“Kita gembira, permohonan Petronas untuk mendapatkan pengisytiharan di Mahkamah Persekutuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 22 Jun 2018.

“Sementara itu,Sarawak menguatkuasakan OMO 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (GDO) pada 1 Julai 2018 menerusi Lembaga Pengurusan dan Mineral Sarawak (SMMA), Petroleum Sarawak Bhd atau PETROS,” jelasnya.

Beliau menambah, penguatkuasaan OMO diperkukuhkan selepas DUN meluluskan Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan) 2018 pada 10 Julai 2018.

Katanya dengan GDO, kerajaan Sarawak akan bekerja rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Petronas dalam hal mengagih gas asli cecair kepada pengguna di negeri ini.

“Kita berharap Petronas boleh memahami kedudukan yang diambil oleh kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak juga memberi jaminan akan bertindak secara munasabah serta mesra perniagaan kepada pemain industri minyak dan gas di Sarawak,” katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan Sarawak mengharapkan Petronas juga mesra dan memberi kerjasama, lagipun Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Sarawak berbanding lima peratus ketika ini.

“Ini menunjukkan kerajaan persekutuan PH masih mengambil kira rakyat Sarawak, sekurang-kurangnya dalam hal berhubung petroleum,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.