Header Ads

Header ADS

ADUN Pakatan Harapan Diingatkan Mereka Punyai 2 Peranan - Dr. Penguang


KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk memainkan dua peranan mereka sebagai pembangkang dalam DUN dan pemerintah dalam Parlimen persekutuan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, mereka seharusnya penuh komited dan maruah untuk menyatukan rakyat serta memelihara keamanan dan keharmonian.

“Bukannya menghasut orang ramai untuk menentang apa sahaja yang telah dilakukan, sedang dilakukan dan akan terus dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.

“Mereka juga tidak harus terperangkap dalam minda yang menggalakkan puak menurut jurang politik dan di kalangan pelbagai suku kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan usul penangguhan Persidangan DUN yang berakhir di sini, semalam.

Tambah ADUN Marudi itu, wakil rakyat Pakatan juga harus ingat tentang kewajipan mereka sebagai kerajaan untuk memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian jika Malaysia ingin terus maju di samping negara maju lain di rantau ini.

“Saya juga ingin mengingatkan mereka untuk mengotakan kata mereka dan menunaikan janji mereka dalam pilihan raya.

“Ia termasuk dengan mengembalikan hak Sarawak, mengurangkan kos sara hidup, memansuhkan GST, memberi lesen motosikal percuma dan banyak lagi perkara dalam manifesto pilihan raya mereka dan Buku Harapan yang telah mendapat publisiti meluas,” ujarnya.

Penguang berkata, di bawah senario politik sekarang di mana 12 Ahli Parlimen dari PH Sarawak merupakan anggota parti pemerintah dalam Parlimen Malaysia.

Beliau amat percaya, jika mereka benar-benar mempunyai semangat sebagai rakyat Sarawak, kewujudan simbiotik bersama kerajaan GPS ini adalah petanda yang baik untuk Sarawak.

Katanya ia terutama dalam usaha mendapatkan hak kita dan lebih banyak pembiayaan dalam semangat tulen untuk membangunkan Sarawak.

“Maka itu saya menyeru kepada semua ahli dalam Dewan mulia ini serta rakyat Sarawak di luar sana tanpa mengira perbezaan politik, untuk bekerjasama demi kepentingan Sarawak dan rakyatnya,” tegas beliau. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.