Header Ads

Header ADS

Chong! Berhenti Kelirukan Rakyat Sarawak - Abdullah


KUCHING - Berhenti daripada terus mengelirukan rakyat Sarawak, tegas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Beliau menegaskan, setakat ini PH Sarawak terutamanya Ahli Parlimen (MP) mereka belum lagi membuat sebarang kenyataan yang signifikan atau boleh dipercayai mengenai corak pembayaran royalti seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebaliknya mereka bercakap berbelit-belit dan membuat pelbagai kenyataan politik sukar diterima akal dalam usaha mereka yang sedaya upaya untuk mengelirukan rakyat Sarawak,” katanya semalam dalam satu kenyataan mengulas satu laporan akhbar.

Akhbar itu melaporkan Chong berkata kerajaan Sarawak belum menerima tawaran daripada Putrajaya untuk tujuan pengembalian hak autonomi negeri.

Abdullah memberitahu, memang benar Pakatan Harapan (PH) Sarawak mengemukakan tawaran pada 26 April lalu, dua minggu sebelum tarikh mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dikemukakan Chong selaku pengerusinya.

Beliau menjelaskan antara lain, tawaran itu pada asasnya menyatakan PH Sarawak menawar untuk menunaikan dua janji penting kepada kerajaan Sarawak jika PH mengambil alih kerajaan persekutuan iaitu 20 peratus royalti dan 50 peratus daripada kesemua hasil cukai yang dikutip dari Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, jika kerajaan Sarawak menerima tawaran daripada PH Sarawak itu, menurut Chong, kerajaan negeri mesti memikul tanggungjawab dan beban kewangan bagi pentadbiran semua perkara yang ada kaitan dengan kesihatan dan pendidikan.

“Saya berpendapat Chong langsung tidak tahu tentang apa yang beliau tawarkan. Ia sama sekali tidak munasabah. Kenapa kerajaan negeri Sarawak enggan melayan Perjanjian ‘New Deal’ yang ditawarkan oleh PH Sarawak?

“Pertama sekali, apakah ‘locus standi’ Chong atau PH Sarawak? Beliau sedang berurusan dengan kerajaan negeri semasa yang dipilih secara sah oleh rakyat,” kata Abdullah.

Beliau berkata, Chong dan PH Sarawak tidak mempunyai kedudukan yang sah untuk berurusan bagi kerajaan persekutuan apatah lagi untuk mengikat kerajaan persekutuan dengan satu perjanjian dengan kerajaan negeri.

“Chong seharusnya sedar bahawa perkara-perkara melibatkan urusan kesihatan dan pendidikan adalah merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 13 dan 14 di bawah Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah Chong atau PH Sarawak berupaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan?” soalnya lagi.


Justeru, beliau berkata, memandangkan sekarang PH sudah mengambil alih pentadbiran persekutuan, beliau mencadangkan agar Chong terlebih dahulu membentangkan usul dalam Parlimen bagi meminda Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang beliau umumkan seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan pada 11 Mac 2018.


Malah, katanya, menurut Chong, pindaan ‘kecil’ ini kepada Seksyen 2(1) PDA akan membolehkan Sarawak untuk menuntut semula pemilikan ke atas minyak dan gas yang dijumpai di negeri ini.


Tegasnya, jika Chong atau mana-mana Ahli Parlimen (MP) PH Sarawak tidak dapat melakukannya sedangkan kerajaan persekutuan kini berada di bawah PH, mungkin MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat mengambil inisiatif itu dan memastikan MP PH Sarawak menyokong usul tersebut.

“Kedua, saya ingin mengingatkan Chong dan PH Sarawak tentang manifesto mereka sendiri atau janji yang dibuat sebelum PRU14. Mereka menggariskan tujuh Teras Janji yang mereka ikrarkan sebagai ‘Tujuh Jaminan Bagi Sarawak Dalam Masa Setahun.’

“Perkara pertama dalam senarai janji-janji mereka ialah, royalti 20 peratus, 10 peratus daripada hasil pendapatan akan diisytiharkan sebagai dividen tunai minyak untuk rakyat Sarawak,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tawaran PH Sarawak pada mulanya tidak jelas tetapi sekarang semua rakyat Sarawak terkejut dengan pengumuman yang dibuat Tun Mahathir bahawa royalti akan dibayar daripada keuntungan Petronas.

“Apa yang diharapkan oleh rakyat Sarawak ialah 20 peratus royalti minyak dan gas adalah daripada hasil pengeluaran dan bukan keuntungan. Terdapat implikasi dan perbezaan kewangan yang besar di antara wang yang diperolehi daripada pengeluaran, hasil pendapatan dan keuntungan.

“Adakah Chong tahu bahawa royalti yang diperolehi daripada keuntungan mungkin kurang berbanding jumlah yang beliau sendiri sebut iaitu RM8 bilion?” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Sarawak harus memikirkan banyak kali mengenai sebarang janji manis yang dibuat oleh Chong atau PH Sarawak. “Terutamanya apabila PM Tun Mahathir membuat kenyataan mengejutkan bahawa manifesto bukan ‘kitab suci’ yang wajib ditunaikan,” katanya.

Selain itu, Abdullah mendedahkan bahawa Chong juga pernah mengumumkan tentang pembayaran balik 50 peratus daripada cukai yang dikutip dari Sarawak kepada rakyat Sarawak.

Beliau menjelaskan ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, kira-kira RM40 bilion dikutip oleh kerajaan persekutuan yang lama.

“Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kita akan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan peratusan yang lebih daripada 6 peratus GST dan seterusnya mengumumkan walaupun hasil pendapatan daripada cukai SST adalah kurang, sekurang-kurangnya harga barangan akan menjadi lebih murah.

“Adakah itu benar dan sedang berlaku sekarang? Chong sebagai Timbalan Menteri persekutuan harus menjelaskan perkara ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika SST menghasilkan pendapatan cukai yang kurang, berapa banyakkah sebenarnya 50 peratus daripada percukaian yang dapat dikembalikan oleh Chong kepada Sarawak.

“Jangan-jangan rakyat Sarawak tidak akan mendapat apa-apa kerana Menteri Kewangan berkata kerajaan persekutuan memerlukan wang untuk membayar ‘hutang negara.’

“Itulah sebabnya kenapa kerajaan persekutuan PH melancarkan kempen mengutip derma. Adakah Chong pernah menjangkakan perkara itu sebelum beliau membuat pelbagai janji?” katanya. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.