Header Ads

Header ADS

Abdullah Minta Chong Usah Kelirukan Rakyat Sarawak Dengan Pelbagai Alasan


KUCHING - Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol meminta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen agar tidak terus mengelirukan rakyat Sarawak.
Tegas Abdullah, sehingga kini Pakatan Harapan (PH) Sarawak khususnya Ahli Parlimen PH masih belum membuat sebarang kenyataan yang signifikan atau boleh dipercayai mengenai corak pembayaran royalti seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 
"Mereka (Ahli Parlimen PH) bercakap berbelit-belit dan membuat pelbagai kenyataan politik yang sukar diterima akal. Ini bertujuan mahu mengelirukan rakyat Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan akhbar berhubung kenyataan Chong Chieng Jen yang berkata Kerajaan Sarawak belum menerima tawaran daripada Putrajaya untuk tujuan pengembalian hak autonomi negeri. 
Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, memang benar PH Sarawak ada mengemukakan tawaran pada 26 April lalu, dua minggu sebelum tarikh mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikemukakan Chong selaku pengerusinya.
Memang benar, pada asasnya menyatakan PH Sarawak menawar untuk menunaikan dua janji penting kepada Kerajaan Negeri Sarawak jika PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan iaitu 20 peratus royalti dan 50 peratus daripada kesemua hasil cukai yang dikutip dari Sarawak. 
Bagaimanapun, jelas Abdullah lagi, jika Kerajaan Negeri Sarawak menerima tawaran dari PH Sarawak ini, menurut Chong, kerajaan negeri mesti memikul tanggungjawab dan beban kewangan bagi pentadbiran semua perkara yang ada kaitan dengan kesihatan dan pendidikan. 
Abdullah dalam pada itu berpendapat Chong sebenarnya tidak mengetahui langsung apa yang telah ditawarkannya itu kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
"Saya berpendapat Chong langsung tidak tahu tentang apa yang beliau tawarkan. Ia sama sekali tidak munasabah. Kenapa Kerajaan Negeri Sarawak enggan melayan 'perjanjian baru' yang ditawarkan oleh PH Sarawak? 
"Pertama sekali, apakah ‘locus standi’ Chong atau PH Sarawak? Beliau sedang berurusan dengan kerajaan negeri semasa yang dipilih secara sah oleh rakyat," kata Abdullah. 
Chong sebenarnya ingin berurusan secara rasmi dengan sebuah Kerajaan Negeri manakala kedudukan PH Sarawak hanya sebuah pakatan politik, jelasnya. 
Chong dan PH Sarawak tidak mempunyai kedudukan yang sah untuk berurusan bagi kerajaan persekutuan apatah lagi untuk mengikat kerajaan persekutuan dengan satu perjanjian dengan kerajaan negeri. 
"Chong seharusnya sedar bahawa perkara-perkara melibatkan urusan kesihatan dan pendidikan adalah merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 13 dan 14 di bawah Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

"Adakah Chong atau PH Sarawak berupaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan?," soalnya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.