Beku Akaun Peribadi, Anak Najib Persoal Kerajaan Cuba Balas Dendam
KUALA LUMPUR - Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mempersoalkan sama ada kerajaan berdendam dengan seluruh keluarganya selepas akaun bank peribadi beliau dan anak lelakinya dibekukan, semalam.
Menurut laporan portal Malaysia Kini, Nooryana memuat naik luahan berkenaan dalam bahasa Inggeris di laman Facebooknya, hari ini.
"Sebaik saja saya membayar wang jaminan untuk ayah saya semalam dengan wang yang dikumpulkan daripada rakan dan saudara mara, pihak bank memaklumkan saya mereka mendapat arahan untuk membekukan akaun peribadi yang saya gunakan untuk membayar yuran sekolah sendiri.
"Akaun bank anak lelaki saya berusia 10 bulan yang mempunyai simpanan RM100 turut dibekukan dan ia adalah duit raya pertamanya tahun ini.
"Apa kaitan duit raya dengan 1MDB? Adakah ini Malaysia baharu yang kita doakan?" katanya.
Difahamkan, selain Nooryana, akaun bank peribadi anak bongsu Najib, Norashman juga dibekukan hari ini.
Sementara itu, semakan NSTP pada jam 4.30 petang tadi mendapati akaun Facebook Nooryana sudah dinyah aktif.
Najib ditahan malam Selasa lalu dan dihadapkan ke mahkamah pada pagi semalam atas tiga tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa.
Bekas perdana menteri mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar semalam dan baki sebelum 3 petang Isnin depan, bersama dua penjamin.
Selain itu, Najib juga perlu menyerahkan dua pasportnya kepada mahkamah dan 8 Ogos ini ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes. -BH Online
No comments