Anggota Bomba Tidak Sangka Anak Perempuannya Mangsa Terkorban Kebakaran Kuarters Di SK Batu Bungan
KUCHING - Luluh hati seorang bapa apabila menerima panggilan rakan setugasnya yang memaklumkan anak perempuannya terkorban dalam kebakaran di kuaters kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II Tiwi Nios, 53, berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, hampir setiap hari beliau menerima panggilan kecemasan terutamanya membabitkan kebakaran.
Namun, panggilan dari pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, kira-kira jam 6 pagi tadi, hampir menyentap semangatnya.
"Saya tergamam seketika apabila diberitahu anak perempuan saya, Catherine Janet, yang terkorban dalam kejadian itu.
"Pada mulanya saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya dengar, namun akhirnya saya menerima hakikat kerana selama ini saya sering melihat kejadian serupa dan tidak sangka ia berlaku terhadap anak saya pula," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Sebaik sahaja menerima maklumat itu, Tiwi yang bertugas di BBP Bau berusaha mendapatkan tiket penerbangan ke Miri untuk melihat sendiri keadaan anaknya yang rentung dalam kejadian itu.
Beliau berkata, Catherine, 25, anak keduanya itu adalah satu-satunya perempuan dari empat beradik.
"Anak saya itu baru sahaja balik semula ke sekolah tempatnya bertugas pada Jumaat lalu selepas beliau menyelesaikan urusan untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Kota Samarahan.
"Sebelum balik ke Miri, beliau cukup ceria namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," katanya sambil memaklumkan anaknya itu baru dua tahun bertugas sebagai guru.
Katanya, sebagai anak perempuan tunggal, Catherine memang cukup rapat serta manja dengan ibunya dan kira-kira jam 6 petang semalam, beliau menghubungi ibunya itu untuk bertanya khabar.
"Isteri saya kata, sepanjang perbualan mereka, Catherine kedengarannya cukup ceria dan bergurau dengan ibunya. Tak sangka, itulah perbualan terakhir mereka," katanya.
Difahamkan, Catherine yang bertugas di SK Penghulu Baya Mallang menginap bersama beberapa rakan setugasnya di SK Batu Bungan, kerana mereka sedang menghadiri kursus di Mulu.
Dua lagi mangsa turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu yang memusnahkan dua unit kuaters guru. -BH Online
No comments