Header Ads

Header ADS

Ahli-Ahli Parlimen GPS Bertindak Berkecuali Dalam Perlantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat


KUCHING - Apabila Ahli-ahli Parlimen daripada BN dan PAS keluar Dewan Rakyat sebagai membantah dan mempertikaikan cara pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof semalam, Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal duduk di tempat masing-masing.

Pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), GPS - hasil gabungan empat parti yang keluar daripada BN, mengambil pendekatan berkecuali dalam hal itu.

Sejumlah 19 Ahli Parlimen GPS dari Sarawak itu adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab berkata: “kita (GPS) berkecuali” yang menjawab soalan adakah GPS tidak ada bantahan terhadap pelantikan itu ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengesahkan pendirian GPS ketika itu.

“Tidak semua Ahli (Parlimen) GPS berada dalam Dewan dan (kami) tidak keluar sewaktu pemilihan (pelantikan) Yang Dipertua Dewan,” katanya ringkas.


Kedudukan GPS dalam Dewan Rakyat difahamkan terletak di kawasan bebas - tidak lagi bersama BN selepas mereka keluar daripada perikatan itu susulan kekalahan BN pada PRU14 Mei lepas.

Pada Ahad, mereka menghadiri mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuala Lumpur.

BERNAMA melaporkan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa anggota BN serta PAS bertindak keluar dari Dewan Rakyat pagi ini sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan terus mencadangkan nama bekas hakim Mahkamah Rayuan itu sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata pihak pembangkang mempunyai bukti yang mencukupi bahawa notis pencalonan Yang Dipertua kesembilan ini tidak memenuhi tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

“Biarpun Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Roosme Hamzah) memaklumkan bahawa Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah menghantar surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 2 Julai.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.