Zuraida Menteri Kerajaan Persekutuan Pertama Lawat Sarawak
KUCHING - Selepas kali terakhir menjejak kaki ke Bumi Kenyalang pada Januari 2017, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa gembira apabila kini telah dibenarkan memasuki Sarawak.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 7.35 malam tadi untuk lawatan kerja selama sehari di sini, hari ini.
“Kali ini, saya dapat masuk atas kapasiti sebagai menteri dan Insya-Allah, saya akan membantu rakyat Sarawak sekalian,” katanya.
Kali terakhir Zuraida memasuki Sarawak pada Januari 2017 untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Dalam pada itu, Zuraida juga merupakan menteri pertama dalam kerajaan persekutuan baharu melawat Sarawak, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Pada lawatan kerja sulungnya ke Sarawak, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian pada jam 9 pagi ini, sebelum membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia pada jam 10 pagi.
Selepas itu, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada jam 11 pagi dan kemudian ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah 2 di Matang pada jam 2.30 petang.
Ahli Parlimen Ampang itu seterusnya mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada jam 4 petang sebelum berangkat balik Kuala Lumpur pada jam 8 malam.
No comments