Header Ads

Header ADS

STAR Sokong Penuh Perjuangan Kerajaan Negeri Sarawak Dapatkan Semula Hak-Hak Sarawak



KUCHING - Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) menyokong penuh perjuangan kerajaan Sarawak hari ini untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak termasuk hak ke atas minyak dan gas.

Presidennya Lina Soo bagaimanapun menegaskan, ini tidak bermaka STAR akan menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“STAR tidak akan me-nyertai GPS, hanya kerana kami mempunyai agenda yang sama. Tetapi apa membimbangkan kita ialah GPS kerana hari ini mereka pembangkang, kita tidak tahu esok lusa, bagaimana kalau mereka menyertai Pakatan Harapan atas pelawaan Tun Mahathir.

“Apa akan berlaku kepada STAR kerana STAR akan kekal sebagai pembangkang, sehinggalah kita berjaya menjadi kerajaan di Sarawak,” ujarnya pada sidang media di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi STAR Buln Ribos dan Naib Pengerusi STAR Mesah Suhaili.

Lina berkata, STAR akan memantau GPS dan PH kerana parti itu bukan milik mana-mana parti politik, tetapi berjuang untuk rakyat Sarawak.

“Jadi, STAR menyokong perjuangan kerajaan hari ini untuk mendapatkan hak ke atas minyak dan gas ekoran cubaan Petronas untuk ‘tidak menghormati’ kerajaan dan pihak berkuasa Sarawak.

“Ada pihak menuduh saya menyokong GPS, semua itu mengarut, saya menyokong kerajaan hari ini. Apa yang penting ialah kita harus bersatu apabila Sarawak berdepan ancaman dari luar, dalam konteks hari ini, Petronas,” katanya.

Ujarnya, tanggapan ubah kerajaan terlebih dahulu baharu perjuangkan hak-hak Sarawak ke atas minyak dan gas adalah tindakan yang ‘bodoh.’

“Kita harus mendapatkan semula hak dan milik kita. Kita harus menyokong kerajaan negeri hari ini, ia bukan politik, menyokong kerajaan negeri tidak bermakna anda menyokong PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) atau mana-mana parti dalam GPS,” tegasnya.

Mengenai penubuhan GPS, Lina berkata, ia tindakan yang baik kerana sekarang Barisan Nasional (BN) tidak lagi bertapak di Sarawak.

“Saya percaya, rata-rata rakyat Sarawak gembira kerana BN tidak ada lagi di Sarawak. Tidak ada BN di Sarawak bermakna, berakhirnya agenda Malaya di Sarawak.

“Rakyat Sarawak sudah bersedia, berkelayakan dan boleh mentadbir wilayahnya sendiri dan mempunyai status sama dengan mana-mana negara,” katanya.

Beliau menambah, GPS boleh berusaha membentuk gabungan parti politik rakyat Sarawak yang menggerunkan dan memberi kesedaran bahawa rakyat Sarawak sudah matang berpolitik.

Ia juga menunjukkan rakyat Sarawak bersedia menguatkuasakan terma dan syarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merea-lisasikan aspirasi rakyat untuk memerintah sendiri, mempunyai wilayah berintegriti, identiti dan kebanggaan, tambahnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.