Header Ads

Header ADS

SPRM Tepis Dakwaan Pihaknya Tidak Siasat Projek Membekal Dan Memasang Panel Tenaga Solar Di 369 Buah Sekolah Di Sarawak


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan ia telah menjalankan siasatan awal terhadap isu projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak melibatkan kos RM1.25 bilion, sekali gus menafikan laporan tiada tindakan diambil.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu telah mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan siasatan awal terhadap isu tersebut pada awal April lepas iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 setelah menerima maklumat daripada orang awam.

SPRM juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan dari Kementerian Pendidikan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan mengikut Akta SPRM 2009, katanya.

“Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dokumen-dokumen yang telah diambil berkenaan sama ada ia berunsur rasuah dan orang ramai diminta agar bersabar sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan terhadap isu tersebut,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu. -BERNAMA

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.