Header Ads

Header ADS

Ribuan Rakyat Sarawak Hadir Di Rumah Terbuka Ketua Menteri Sarawak


KUCHING - Hari raya pertama menyaksikan ribuan rakyat Sarawak mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sarawak Datul Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini (semalam).  

Abang Zohari dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang menerima kunjungan daripada para tetamu seawal jam 10 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari dan bersambung semula pada sebelah petang hingga jam 4.00 petang. 

Antara tetamu yang hadir di Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri hari ini ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Tan Sri Datuk Amar James Masing. 

Turut hadir, barisan menteri-menteri kabinet negeri, wakil–wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin masyarakat serta pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Hadir sama pemimpin empat parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Abang Zohari ketika ditemui media memberitahu kita harus sentiasa bersyukur kerana dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri meskipun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. 

Ini adalah nilai budaya masyarakat kita di mana rakyat tanpa mengira agama dan latar belakang bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri ini. 

“Kita menerima kehadiran ramai pengunjung hari ini dan saya berterima kasih kepada semua yang menyertai perayaan ini,” katanya.

Mereka yang tidak berkesempatan menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sarawak hari ini tidak perlu berasa gusar kerana masih berpeluang mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri pada Hari Raya Kedua (hari ini) bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Perkhidmatan bas percuma turut disediakan untuk orang ramai dari hentian bas di Jalan Masjid dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama menuju ke BCCK dan kembali semula sepanjang tempoh tersebut. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.