Header Ads

Header ADS

Projek Darul Hana Tetap Diteruskan


KUCHING - Projek Darul Hana akan tetap diteruskan dalam mewujudkan kawasan perkampungan moden dan selesa untuk penduduk di Seberang Hilir meskipun berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Iftar Darul Hana di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin malam kelmarin.

Beliau menjelaskan, projek itu dilaksanakan di bawah kerajaan negeri dan tidak menjadi masalah untuk diteruskan.

“Darul Hana ini merupakan satu projek yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk memberi keadaan tempat tinggal yang lebih selesa dan teratur kepada masyarakat khasnya dari Seberang Hilir ini.

“Jadi tidak ada masalah untuk ia diteruskan kerana ia dibiayai kerajaan negeri walaupun kerajaan persekutuan telah bertukar tangan,” katanya.

Abang Johari berkata langkah pertama projek itu dengan pembinaan masjid telah pun siap dan kini dalam fasa pertama pembinaan rumah-rumah.

Pada masa sama beliau berkata, walaupun kerajaan negeri dan kerajaan pusat berlainan parti, Sarawak tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Kita akan meneruskan usaha membangunkan negeri dan rakyat dengan sumber yang ada dan kita juga bekerjasama dengan kerajaan persekutuan baharu yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita jalinkan kerjasama di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri demi pembangunan rakyat negeri ini,” tegasnya.

Selain itu, Abang Johari berkata beberapa bidang perkhidmatan yang dahulunya di bawah pentadbiran kerajaan pusat akan diambil alih kerajaan negeri.

“Ini termasuk pemberian elaun untuk ketua kaum, ketua masyarakat dan tuai rumah yang kini ditanggung kerajaan negeri yang mana sebelum ini ia di bawah kerajaan pusat tetapi telah dimansuhkan,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 130 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf.

Hadir sama isteri ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan tetamu kehormat lain. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.