Header Ads

Header ADS

Peruntukan RTP Memacu Perkembangan Sosioekonomi Penduduk Di BGS


KUCHING - Sebanyak RM250,000 telah diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 bagi membaik pulih lampu hiasan dan jalan di kawasan Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS).
Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan adanya kemudahan itu, Tebingan BGS akan diterangi dengan lampu sekali gus memudahkan aktiviti perniagaan pada waktu malam di situ yang kini kian rancak.

“Ini adalah untuk memastikan keselamatan dan kemudahan bagi mereka yang melawat BGS pada waktu malam. Namun, semua pihak harus memainkan peranan dalam menjaga kemudahan awam ini.
“Banyak program fizikal yang telah dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk pembangunan kampung dan pelbagai tarikan telah diwujudkan di kawasan Kampung Seberang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Agihan Bubur Lambuk Kawasan Jiran Mesra BGS dan PBB Pantai Damai serta Sumbangan Ihsan Ramadan DUN Pantai Damai Zon Seberang Hilir di Esplanade BGS, Kampung Gersik di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, sejak 10 tahun lalu penduduk kampung sudah sedar akan peluang perniagaan dan mereka mengambil kesempatan untuk mengadakan aktiviti perniagaan khususnya kek lapis, ikan terubok masin dan kedai makanan dan minuman.
“Kini BGS adalah ibarat tempat yang harus dilawati dan dikenali apabila tiba di Sarawak kerana terdapat perniagaan homestay, kek lapis dan ikan terubuk,” tambahnya.

Dalam program tersebut, seramai 71 penerima dari 14 kampung seberang di Petra Jaya menerima bubur lambuk dan sumbangan ikhlas daripada Dr Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis tersebut isteri beliau, Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan tetamu kehormat lain.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.