Header Ads

Header ADS

PDRM Nafi Batal Kemasukan 600 Konstabel Wanita


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya membatalkan kemasukan 600 calon konstabel wanita, sebaliknya menunda tarikh kemasukan mereka bagi memberi laluan kepada persediaan Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua calon berkenaan sepatutnya melapor diri ke pusat latihan pada April lalu.
"Bagaimanapun, kemasukan itu terpaksa ditunda berikutan semua jurulatih terbabit dalam penugasan bantuan sumber manusia dalam memastikan PRU-14 berjalan lancar dan sempurna.
"Latihan juga tidak dapat dijalankan sebaik saja selesai pilihan raya kerana PDRM mengambil kira kebajikan calon yang semestinya berhasrat untuk menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelum mereka menjalani latihan asas," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, PDRM akan mengeluarkan surat tawaran baru kepada 600 calon yang menerima surat tawaran sebelum ini secara berperingkat.
Kenyataan dikeluarkan beliau adalah merujuk artikel sebuah akhbar tempatan yang bertajuk 'Pertimbangkan kembali pembatalan' yang dikeluarkan pada 31 Mei lalu oleh 'pesara konstabel wanita'.
Di dalam artikel itu, penulis menyatakan rasa terkilan kerana surat tawaran 600 calon konstabel wanita dibatalkan sekali gus membebankan mereka yang sudah membeli peralatan latihan seperti mana ditetapkan dalam surat tawaran.
Penulis itu juga berpendapat bahawa pembatalan terbabit turut menjejaskan kehidupan sesetengah calon yang berhenti kerja selepas menerima tawaran untuk berkhidmat dengan PDRM. -Berita Harian Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.