Header Ads

Header ADS

DAP Sarawak Diminta Tunggu Laporan SPRM


KUCHING - Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei sepatutnya menunggu atau meminta hasil laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata ini kerana DAP yang melemparkan tuduhan liar dan mengemukakan laporan kepada SPRM. 

“Chong (Chong Chieng Jen) dan Wong seolah-olah tahu banyak perkara mengenai projek berkenaan, jadi apa lagi yang perlu kami dedahkan. 
“Atau, mungkin Chong dan Wong juga harus mendedahkan bagaimana mereka memperoleh semua fakta dan angka berkaitan projek-projek berkenaan seperti dinyatakan,” katanya semalam.
Julaihi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Wong yang mencabar beliau mendedahkan perincian kontrak-kontrak diberikan untuk Projek Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua yang dipercayai bernilai RM5 bilion dan RM6 bilion masing-masing. 

Baru-baru ini Chong menarik perhatian umum apabila beliau mahu SPRM menyiasat kedua-dua projek berkenaan yang dikatakan pelaksaannya tidak dilakukan secara tender terbuka.
Khamis lepas, Julaihi dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan kedua-dua projek berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi. 

Wong bagaimanapun kelmarin dalam satu kenyataan akhbar berkata Julaihi cuba mengelak isu utama dibangkitkan Chong, iaitu ketelusan dalam pemberian kontrak. 
Julaihi yang juga ADUN Sebuyau berkata DAP Sarawak tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap mengenai integriti kerana mereka berat sebelah dan hipokrit. 
Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dengan tujuan utamanya ialah mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar terutama pesisir pantai.
“DAP Sarawak tidak pernah menunjukkan semangat untuk membantu penduduk luar bandar kerana rata-rata penyokongnya berada di bandar. 

“Semua usaha dan kerja keras mereka sentiasa mengenai permainan politik dan menjamin kekuatan kuasa politik dengan apa cara sekali pun,” katanya lagi.
DAP Sarawak seharusnya memfokus kepada usaha menunaikan ikrar 100 hari atau manifesto mereka membantu Sarawak mendapatkan semula hak-hak serta kepentingan negeri ini, tegas Julaihi. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.