Nancy Lahirkan Rasa Kesal Banyak Projek Rakyat Ditolak Kerajaan Pakatan Harapan
KUCHING - Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri melahirkan rasa kesal kerana projek untuk rakyat di kawasannya yang telah diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu telah ditolak kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Beliau menjelaskan antara projek yang terjejas ialah bina baharu jeti Kampung Lubok Punggor, naik taraf dewan serba guna Kampung Spaoh Gedong, baik pulih jalan lorong ke rumah, jambatan belakang Sekolah Kebangsaan Haji Kelali Semera, naik taraf dewan Kampung Sungai Bundong dan beberapa projek lain.
Berita tentang penolakan projek itu dimaklumkan pada mesyuarat yang diadakan bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Batang Sadong iaitu ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris dan ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.
Mesyuarat yang diadakan di Sarawak Club itu semalam turut dihadiri pegawai daerah dari Kota Samarahan, Sadong Jaya, Gedong dan Simunjan.
“Saya telah dimaklumkan bahawa beberapa projek yang diluluskan sebelum PRU14 telah ditolak oleh kerajaan persekutuan setelah PH membentuk kerajaan pemerintah yang baharu.
“Saya amat kecewa kerana semua projek yang telah kami mohon ini merupakan projek yang diminta oleh penduduk kawasan untuk keperluan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi statusnya yang dimuat naik di laman sosial Facebook selepas mengadakan mesyuarat tersebut.
Tegas Nancy, projek tersebut merupakan keperluan penduduk di kawasan berkenaan dan sememangnya sudah lama dinantikan.
“Saya amat berharap projek bina baharu Sekolah Kebangsaan Abang Man yang telah diluluskan sebelum PRU14 tidak ditolak oleh kerajaan persekutuan sekarang,” tambahnya.
No comments