Header Ads

Header ADS

Kedudukan Ahli Parlimen Sarawak Cukup Istimewa


BINTANGOR - Kedudukan ahli Parlimen dari Sarawak cukup istimewa walaupun akan berada di kerusi pembangkang di Dewan Rakyat, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol.

Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa Sarawak merupakan salah satu daripada entiti dalam penubuhan Malaysia.

“Walaupun akan berada di barisan pembangkang tetapi ahli Parlimen dari Sarawak adalah pembangkang istimewa yang tidak perlu berasa rendah diri dan lemah semangat.

“Oleh itu, kedudukan ahli Parlimen kita adalah dalam kedudukan baik dan membanggakan kerana menjadi pembangkang yang mempunyai suara kuat mewakili sebuah negeri yang menubuhkan negara Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ziarah Gawai Raya 2018 di Dewan SK Abang Amin, Bintangor, kelmarin. Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusof Abdul Wahab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu juga berkata, keputusan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah tepat dalam kepimpinan negeri yang berpendirian.

Ujarnya, sudah tiba masa untuk Sarawak menentukan destinasi dan nasib sendiri dengan usaha penggabungan parti-parti dalam negeri. 

“Kita juga menolak persoalan ramai berkenaan semangat yang sama dalam GPS seperti Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah berbeza sebab parti yang bergabung dalam GPS adalah parti yang ada sejarah dan ditubuhkan pemimpin-pemimpin orang Sarawak dan parti ditubuhkan dari Sarawak.

“Selain itu, ini juga berbeza dengan parti yang lain seperti DAP (Parti Tindakan Demokratik) ataupun PKR (Parti Rakyat Sarawak) yang bermula dari Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Abdullah berkata, penubuhan GPS juga membuktikan Sarawak bukan sahaja sebuah negeri yang luas tetapi juga mempunyai jiwa dan wawasan yang besar. 

“Saya yakin kepimpinan tertinggi GPS akan merangka hala tuju politik GPS antara lain ke arah mempertahankan hak dan kepentingan negeri.

“Budaya kerja serta falsafah politik GPS juga perlu dirombak dan diperkasakan bagi memastikan pelan serta pelaksanaan pembangunan terutama ke arah luar bandar diutamakan dengan tindakan segera,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menjelaskan kenyataan Ketua Menteri bahawa kerajaan Sarawak memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan adalah satu fakta yang menunjukkan negeri ini mempunyai politik matang.

“Maksud di sini ialah kita sekarang ditadbir oleh empat parti akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) hanya untuk perkara-perkara yang boleh memberi kebaikan kepada negeri sahaja.

“Kita akan membantah jika sesuatu itu boleh menghakis hak dan kepentingan kita.

“Ini adalah sistem demokrasi dan kita mesti bersifat matang yang mana bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama jika perkara itu mendatangkan keuntungan,” tambahnya.

Namun begitu, beliau berharap kerajaan PH dapat menunaikan janji dan harapan kepada rakyat dalam 100 hari selepas kemenangan kerajaan baharu itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan permohonan Petronas untuk memulakan prosiding undang- undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak untuk mengawal selia aktiviti cari gali, Abdullah menyifatkan kemenangan tersebut adalah kemenangan moral.

“Ini merupakan pengiktirafan undang-undang yang diberikan kepada kedudukan kita, Sarawak.

“Tetapi selepas ini banyak lagi perkara yang lebih besar akan kita perlu lakukan kerana saya juga percaya Petronas akan membangkitkan lagi isu minyak dan gas ini,” katanya. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.