Lelaki Hampir Putus Jari Selepas Mercun 'Bom Ikan' Meletup
KUCHING - Seorang lelaki hampir putus jari selepas mercun yang dipercayai 'bom ikan' yang digunakan untuk menangkap ikan di sungai meletup sebelum sempat dibaling, semalam.
Insiden yang berlaku di Kampung Telaga Air itu, di mana mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan bersama rakannya menangkap ikan di sungai berkenaan dengan menggunakan mercun tersebut sekitar jam 9 pagi.
Menurut sumber, 'bom ikan' itu digunakan bagi 'melemaskan' ikan-ikan itu supaya timbul bagi memudahkan mereka menangkapnya.
“Mereka menangkap ikan menggunakan mercun yang dibaling ke dalam sungai sehingga ia meletup dan kemudian akan mengambil ikan-ikan yang timbul di permukaan air.
“Bagaimanapun, keseronokan mereka tidak kekal lama apabila mercun tersebut yang sudah dinyalakan mangsa tiba-tiba meletup dan mengakibatkan beberapa jarinya hampir terputus,” kata sumber.
Melihat keadaan mangsa yang meraung kesakitan, beliau kemudiannya dibantu rakan-rakannya dan dikejarkan ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata sumber itu lagi.
Bagaimanapun, mangsa masih menerima rawatan di HUS dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
No comments