Header Ads

Header ADS

KPDNKK Pantau Rapi Penjualan Jersi Dan Cenderamata Piala Dunia 2018 Tiruan


KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melakukan pemantaun rapi terhadap aktiviti penjualan jersi tiruan di sepanjang berlangsungnya Piala Dunia 2018.

Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, penjualan jersi dan barangan tiruan ini merupakan salah satu perkara yang diberi perhatian oleh pihaknya khususnya menjelang temasya sukan terbesar dunia ini.

“Kita sedia maklum bahawa Piala Dunia 2018 bakal berlangsung tidak lama lagi dan ada peniaga yang akan mengambil kesempatan dengan menjual jersi atau barangan tiruan.

“Kita di KPDNKK sangat prihatin dengan perkara ini lebih-lebih lagi ia melibatkan Cap Dagang.

“Jadi, saya ingin memberi amaran kepada para peniaga sama ada daripada kalangan individu mahupun syarikat supaya tidak menjual jersi dan barangan tiruan lain sepanjang Piala Dunia nanti,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bagi memastikan tiada jersi Piala Dunia 2018 tiruan yang dijual di pasaran, Stanley turut menggesa peniaga yang mempunyai hak penjualan jersi tulen untuk membuat aduan secara rasmi kepada KPDNKK.

Menerusi aduan tersebut, KPDNKK katanya akan menghantar pegawainya untuk membuat pemeriksaan ke atas kedai-kedai yang menjual jersi tiruan.

Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati menjual barangan tiruan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Denda sebanyak RM10,000 boleh dikenakan bagi setiap perihal dagangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduaduanya sekali bagi kesalahan individu pertama.


Bagi kesalahan kedua, denda RM20,000 bagi setiap perihal dagangan yang dipamerkan atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.