Header Ads

Header ADS

Kerajaan Pakatan Harapan Akan Lantik Menteri Hal Ehwal Islam Sedikit Masa Lagi


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan seorang menteri dilantik bagi menjaga hal ehwal Islam di negara ini.
Bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini, katanya, menteri itu mungkin dilantik dari kalangan menteri di Jabatan Perdana Menteri kelak.
"Kita akan lantik menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dan kita akan tentukan tugas mereka. Mungkin berkenaan dengan agama,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.
Dr Mahathir juga tidak mahu berterus terang apabila ditanya tentang jumlah menteri yang akan menganggotai barisan kabinetnya.
“Kita akan ambil kira semua pandangan, tunggu la sekejap, kami akan beri tahu 26, 27, 28, ataupun 500,” katanya .
Sumber kerajaan semalam memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet akan mempunyai 28 orang menteri.
Dr Mahathir juga berkata bahawa beliau akan mengambil kira semua aspek, apabila ditanya sama ada barisan jemaah menterinya itu akan termasuk wakil rakyat daripada Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata dirinya berharap dapat memuktamadkan kabinetnya pada minggu ini, tetapi berkata ini mungkin berlarutan hingga ke minggu depan.
Pada sidang medianya itu, Dr Mahathir berkata, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus dibincangkan dan dikaji semula.
Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan diambil bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.
“Kita akan kaji semula JAKIM,” katanya ringkas. 
Polemik timbul apabila kerajaan dilaporkan mahu mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan JAKIM.
Dr Mahathir berkata tindakan itu sebagai melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.
"Dan kita akan tentukan negara ini Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa," katanya. -Malaysiakini

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.