Kerajaan Negeri Sarawak Perlu Failkan Akta Wilayah Laut (TSA) 2012 Dan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 Di Mahkamah
KUCHING - Sarawak perlu memfailkan usul mahkamah bagi mengisytiharkan sama ada Akta Wilayah Laut (TSA) 2012 sah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sudah tamat serta terbatal.
Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata, ia amat penting dilakukan kerajaan negeri kini dan mereka perlu lebih serius dalam kedua-dua akta itu.
“Dalam permohonan kehakiman sekarang oleh Petronas, mereka telah mengandaikan kesahan PDA 1974 di bawah perlembagaan.
“Petronas berhujah bahawa ia dapat mengguna pakai kesemua peruntukan PDA di Sarawak untuk mendapatkan ‘pemilikan’ sepenuhnya ke atas semua sumber gas dan minyak dalam wilayah Sarawak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang itu, hujah perundangan Sarawak seharusnya berdasarkan kesahan TSA di bawah perlembagaan.
“Selain kesahan dan kebolehlaksanaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang merupakan sebahagian daripada rejim Perintah Darurat yang diisytiharkan pada 1969 tetapi sejak itu sudah ditarik balik pada 2011,” katanya.
See berkata, selain itu juga amat penting bagi Sarawak untuk mencabar kesahan Perjanjian Tiga Pihak (Tripartite Agreement) yang ditandatangani kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Petronas, untuk menyerahkan hak kita ke atas semua sumber petroleum kita kepada Petronas, menurut perlembagaan. - Utusan Borneo Online
No comments