Header Ads

Header ADS

Kenapa Perlu Deposit Untuk Projek Berbilion Ringgit? - Ting Pek Khiing


LANGKAWI - Tokoh korporat hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing memberi jaminan projek mega Langkawi Square, yang bakal menelan kos RM30 bilion, akan mematuhi semua peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Beliau memberi jaminan projek yang bakal menjadi pembangunan hartanah paling besar pernah diusahakan dalam sejarah negeri Kedah itu, akan mematuhi semua undang-undang sebelum ia bermula.
Jutawan hartanah berasal dari Sarawak yang terkenal kerana membantu memajukan Pulau Langkawi sebagai pusat peranginan itu, berkata cadangan projek Langkawi Square bukanlah cadangan baru, sebaliknya ia sudah dibentangkan lebih 24 tahun lalu.
"Dalam tempoh itu, kita telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan. Kita sudah serah kertas cadangan kepada kerajaan terdahulu.. PAS dan Barisan Nasional (BN) dan akan terus berbuat demikian kepada Pakatan Harapan (PH) yang kini menguasai Kedah.
"Ini adalah projek bernilai berbilion ringgit, yang terbesar pernah berlaku di Kedah.
"Jadi, kami akan pastikan semua pelan, termasuk pelan bangunan dan pembangunan mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri dan persekutuan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek itu bertujuan memberi nilai tambah pada produk pelancongan sedia ada di Langkawi.
Usahawan berusia 75 tahun itu berkata, beliau tidak tahu mengenai keperluan untuk membayar sejumlah deposit apabila mengemukakan sebarang cadangan pembangunan kepada kerajaan negeri Kedah.
"Saya tidak tahu. Ini adalah projek bernilai berbilion ringgit, jadi apa deposit yang mereka mahukan?
"Setiap ringgit adalah milik pelabur dan dalam projek sebesar ini, nilai deposit tidak terbanding dengan nilai pembangunan yang kita akan majukan
"Lebih baik biarkan pemaju belanjakan wang itu untuk pembangunan dan bukannya deposit dalam bank," katanya.
Semalam, Pek Khiing mengumumkan akan melancarkan Langkawi Square, sebuah bandar raya baharu Langkawi di atas tanah seluas 810 hektar, yang ditebus guna di barat pulau itu.
Ia membabitkan pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan lain, setanding dengan pembangunan hartanah dan pelancongan di Dubai.
Pek Khiing berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menyeri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang kerajaan negeri belum menerima apa-apa cadangan mengenai projek itu setakat ini. -Berita Harian Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.