Header Ads

Header ADS

JAKIM Terus Sebar Dakwah Dan Risalah Islam


PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus memainkan peranan dalam menyebarkan dakwah dan risalah Islam kepada segenap lapisan masyarakat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya, berkata menerusi slogan 'Melebarkan Risalah, Menyantuni Ummah', jabatan itu akan memastikan tiada pihak yang terkecuali dalam menerima risalah dibawa Nabi Muhammad SAW.
"Risalah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah berdasarkan kandungan kitab suci al-Quran dan hadis, namun belum lagi dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Islam di negara ini.
"Justeru, dengan slogan ini, kita akan terus mengadakan pelbagai program berkaitan dari semasa ke semasa," katanya pada program #QuranHour sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1439 Hijrah, di sini, hari ini.
Lebih 300 peserta menyertai program itu yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Kahfi diketuai oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Nor Azamir Alias.
Turut berlangsung, Forum Nuzul Quran bertajuk 'Al-Quran Melahirkan Masyarakat Madani dan Generasi Rabbani'.
Sementara itu, Paimuzi berkata, JAKIM mahu umat Islam, termasuk penjawat awam mengamalkan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam setiap tindakan dan urusan kerja harian mereka.
Beliau berkata, konsep itu membawa maksud Islam sebagai agama perdamaian dan penuh kasih sayang, selain bertoleransi.
"Apabila konsep ini diterjemahkan dalam setiap tindak-tanduk dan perlakuan kita, insya-Allah Islam itu akan dilihat sebagai agama yang penuh kasih sayang dan sifat terpuji yang lain," katanya. -Berita Harian

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.