Kane Tandatangan Kontrak Enam Tahun Kekal Bersama Spurs
LONDON - Kapten England, Harry Kane memberikan perkhabaran gembira buat penyokong Tottenham Hotspur apabila menandatangani kontrak baharu selama enam tahun untuk kekal bersama kelab Liga Perdana itu sehingga 2024.
Penyerang berusia 24 tahun itu mencatat rekod jaringan peribadi terbaik iaitu 41 gol musim ini dan dikatakan menjadi buruan kelab juara Eropah, Real Madrid serta beberapa kelab lain.
Sebelum ini ada spekulasi menyatakan bahawa Kane mahu berpindah ke kelab lain untuk memenangi trofi meskipun pengurus Spurs, Mauricio Pochettino menerima pujian atas gaya permainan bola sepak menarik namun mereka masih gagal meraih sebarang trofi sejak mengendalikan pasukan pada 2014.
"Kami gembira untuk mengumumkan bahawa Harry Kane sudah menandatangani kontrak baru enam tahun untuk kekal bersama kelab sehingga 2024," jelas satu kenyataan menerusi laman web Spurs.
Kane yang dipengaruhi dengan keputusan Pochettino mengikat kontrak baru selama lima tahun pada Mei lalu berkata, ia masa yang cukup mengujakan buat semua pemain bukan saja dalam pemburuan trofi malah untuk berpindah ke stadium baru selepas beraksi di Wembley musim lalu.
"Saya sangat teruja, ia hari yang cukup membanggakan," ujar Kane.
"Sememangnya saya melalui beberapa musim yang hebat dan saya bersedia untuk terus bersama kelab ini. Saya tak sabar untuk beraksi di stadium baru dan berkembang bersama kelab ini.
"Ia pencapaian yang hebat untuk konsisten beraksi di Liga Juara-Juara dan saya sangat teruja untuk beraksi sekali lagi. Untuk kami sebagai satu pasukan, kami mahu terus meningkat dan berusaha keras," katanya.
Keputusan yang dibuat Kane itu nyata melegakan pengurus England, Gareth Southgate yang tidak mahu spekulasi mengenai masa depan tonggak utama itu akan menjejaskan tumpuan apabila Piala Dunia bermula.
Kane menjadi penjaring terbanyak Spurs dalam era Liga Perdana dengan mengatasi rekod Teddy Sheringham sebanyak 97 gol manakala dia menamatkan kalendar 2017 sebagai penjaring terbanyak bola sepak Eropah menerusi ledakan 56 gol untuk kelab dan negara. - AFP
No comments