Header Ads

Header ADS

Hujah 'Kosong' Aziz Mengenai Petros Dan PDA Amat Menyedihkan - Fazzrudin


KUCHING - Kenyataan Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Abdul Aziz Isa di dalam sebuah portal berita atas talian Malaysiakini, Sabtu lepas mengenai Petros dan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) amat menyedihkan.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beliau (Abdul Aziz) memberikan kenyataan berdasarkan ‘hujah kosongnya’ apabila menuduh Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berbohong.

Fazzrudin turut mengesyorkan DAP Sarawak untuk menunaikan janji pilihan raya mereka sebelum menuduh orang lain berbohong.

“Pada 7 Jun (Khamis) lepas, sejumlah besar peguam-peguam dari seluruh negeri mewakili Persatuan Peguambela Sarawak termasuk beberapa ahli politik tempatan daripada pembangkang seperti Dominique Ng dan See Chee How datang menunjukkan sokongan padu kepada kerajaan dalam menghadapi tindakan undang-undang Petronas.

“Namun, tiada kelihatan kumpulan peguam daripada DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Fazzrudin turut mempersoalkan semangat patriotik yang ada dalam DAP Sarawak dan keikhlasan mereka untuk negeri.

Beliau berkata, objektif utama negeri untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kini, dengan tindakan undang-undang oleh Petronas kita perlu berdiri di belakang kerajaan negeri untuk memperjuangkan hak kita di mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Fazzrudin menyeru agar hujah undang-undang diserahkan kepada peguam yang mengendalikan kes yang akan didengarkan tidak lama lagi.

Katanya, rakyat Sarawak harus sedar bahawa ia bukan hanya mengenai undang-undang atau peraturan sumber minyak dan gas ke mahkamah tetapi semangat cintakan negeri dan anak Sarawak juga akan diuji dalam tempoh itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Abdul Aziz Isa menuduh Ketua Menteri Sarawak berbohong kepada rakyat Sarawak kerana mendakwa Sarawak akan mendapat hak untuk mengeksploitasi sepenuhnya sumber minyak dan gas.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.