Gadis Limbang 'Nama Besar' Pemain Muzik Sape Di Sarawak
LIMBANG - Siapa sangka gadis bertudung litup kelahiran Limbang yang mula bermain sape dengan hanya belajar sendiri melodi lagu termasuk menerusi laman Youtube ini, kini adalah antara ‘nama besar’ pemain alat muzik tradisi bertali masyarakat Orang Ulu itu di Sarawak.
Kemahiran dimiliki Nurul Syafiqah Yusop itu pantas dikesan pengasas Kumpulan Tuku’ Kame’ yang juga Pengarah Muzik Kampung Budaya Sarawak (SCV) Narawi Rashidi seterusnya dijemput untuk bersama lima rakan membentuk kumpulan Ilu Leto (Kami, Para Gadis) sempena Festival Musim Menuai Sedunia 2017.
Lima lagi anggota kumpulan tersebut ialah Alena Murang (berbangsa Kelabit); Munirih Jebeni (berbangsa Iban); Rosemary Colony Joel Dunstan (berbangsa Iban); Elizabeth Bungan Peter (berbangsa Kenyah dan Beketan) dan Tasneem Bolhassan (berbangsa Melayu).
Mengimbau kembali perjalanan seninya, Nurul Syafiqah, 29, berkata kerana terlalu minat untuk belajar alat muzik bertali itu, beliau meminjam sape' milik bapa rakannya yang disifatkan sebagai perjalanan pertamanya dalam bidang muzik itu sekitar 2012.
Katanya selain itu, minat beliau kepada alat muzik tersebut juga timbul kerana lagu-lagu daripada pemain sape dan penyanyi Iban terkenal, Jerry Kamit yang juga dikatakan bertanggungjawab membawa pembaharuan serta nafas baharu dalam petikan sape.
Bercakap kepada Bernama, gadis berdarah campuran Melayu, Cina dan Iban itu berkata motivasi beliau terus meningkat apabila idolanya Jerry Kamit menghadiahkan sebuah sape berukuran kecil pada hari kelahiran ke-23.
"Dengan menggunakan sape ini, saya belajar sendiri bermula dengan mencari melodi lagu kerana saya belajar hanya melalui pendengaran sahaja dan tidak berdasarkan nota muzik atau bantuan guru. Saya banyak belajar melalui lagu-lagu yang sering dimainkan Jerry Kamit seperti lagu Leleng, Lan e’ dan Datun Julud," katanya yang menghabiskan masa sekitar satu hingga tiga jam ketika berlatih.
No comments