Header Ads

Header ADS

Fadillah Mahu Kes Petronas Lawan Kerajaan Negeri Sarawak Diselesaikan Mengikut Lunas Undang-Undang


KUCHING - Biarlah undang-undang yang menentukan keputusan pertikaian Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang membabitkan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Naib Presiden Kanan PBB yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berharap kes itu akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

“Memandangkan mereka (Petronas) telah memfailkan prosiding di mahkamah, saya sarankan kita menyelesaikan perkara ini mengikut lunas undang-undang.

“Saya yakin bahawa Kerajaan Sarawak akan mempertahankan hak Sarawak dan rakyat mengikut lunas undang-undang serta bukti yang ada di Sarawak,” tegasnya ketika diminta mengulas mengenai isu ini yang menjadi bualan rakyat Sarawak semalam.

Semalam, Petronas telah mengumumkan pihaknya sedang memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan deklarasi berhubung Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang yang terpakai dalam industri petroleum di Malaysia.

Ini susulan daripada penubuhan Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) yang akan mula beroperasi pada Julai ini dengan Kerajaan Negeri Sarawak akan bertanggungjawab penuh ke atas segala sumber yang ada di muka bumi dan perairannya.

Justeru, mana-mana syarikat minyak yang akan menjalankan kegiatan mereka di negeri ini perlu untuk mendapatkan kebenaran dan lesen daripada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum dibenarkan beroperasi secara sah.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.