Header Ads

Header ADS

DAP Sarawak Akur Dengan Keputusan PM Berhubung Pemilihan Menteri Dan Timbalan Menteri


KUCHING - Kuasa menentukan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri tanpa perlu dipertikaikan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata jumlah Menteri dan Timbalan Menteri dari Sarawak juga sudah pasti berada dalam pertimbangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukannya.
Katanya, keputusan mengenai barisan Menteri dan Timbalan Menteri juga sudah diperhalusi kepimpinan negara sebelum pengumuman dibuat.
"Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh (untuk tentukan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet).
"Jadi sebelum pengumuman itu dibuat, saya rasa tidak sesuai untuk komen lebih lanjut berhubung perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Pasukan Respon Kecemasan 2018 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah JPBM Sarawak, Nor Hisham Mohamad.
Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman penuh Kabinet minggu depan.
Beliau dikatakan bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Selain itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang juga Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, dikatakan akan dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.
Namun, senarai nama yang tular sejak semalam itu mendapat reaksi berbeza dari pemimpin DAP Serian yang mahu jumlah Menteri dan Timbalan Menteri dari Sarawak ditambah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negeri ini serta sosio ekonomi rakyatnya.
Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat diminta bersikap lebih adil kepada Sarawak, termasuk memperuntukkan sekurang-kurangnya dua porfolio Menteri dan tiga jawatan Timbalan Menteri dalam Kabinet Persekutuan.
Selain itu, Sarawak antara penyumbang kerusi terpenting hingga mendorong kejayaan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu seterusnya membolehkan Kerajaan Pusat dibentuk. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.