Chong Tidak Sependapat Dengan Kerajaan Negeri Sarawak Dalam Isu Petronas
KUCHING - Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tidak sependapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam isu tuntutan kes minyak dan gas terhadap Petronas.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kerajaan Negeri Sarawak tidak perlu memfailkan kes tuntutan ke atas minyak dan gas di negeri ini di Mahkamah Tinggi.
Ini kerana Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai undang-undang khas yang terpakai iaitu Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO).
Sebaliknya, tegas Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menasihatkan kerajaan negeri untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi sekiranya ia serius untuk menuntut semula haknya ke atas minyak dan gas di negeri ini, katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Abdul Karim di sini, semalam.
“Saya fikir sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, anda perlu membawa perkara ini ke mahkamah untuk mengetahui sama ada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) atau OMO adalah yang terpakai di negeri ini.
“Pada masa ini, ia menyebabkan banyak ketidakpastian dalam industri minyak dan gas dan ini perlu dijelaskan,” katanya.
Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin menambah, tidak ada gunanya kerajaan negeri menyatakan bahawa ia mempunyai hak untuk aktiviti huluan minyak dan gas di luar mahkamah.
“Ia tidak memberi sebarang tujuan dan hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakpastian kepada industri,” katanya.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding bagi mendapatkan perisytiharan berhubung kuasa mengawal selia aktiviti huluan sumber minyak di Sarawak.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa perisytiharan yang dimohon Petronas tidak tertakluk di bawah peruntukan Artikel 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Ahmad, dalam penghakimannya, berkata sehubungan itu Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa eksklusif asal untuk mendengarnya kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Petronas memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding mengikut Artikel 4(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan perisytiharan bahawa PDA adalah terpakai berhubung kuasa mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri Sarawak.
Ia memohon perisytiharan bahawa PDA digubal dengan sewajarnya oleh Parlimen dan akta itu secara tersiratnya OMO.
No comments