Ada Beberapa Parti Lain Ingin Sertai GPS - Abang Jo
KUCHING - Selepas pengumuman penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 12 Jun lalu, ada beberapa parti tempatan lain yang berminat menyertai gabungan ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, gabungan itu tidak hanya dianggotai empat parti sahaja, sebaliknya terbuka kepada mana-mana parti lain yang berminat.
Bagaimanapun, permohonan mereka (parti lain) untuk menyertai GPS hanya akan dapat diputuskan selepas penubuhan GPS secara rasmi.
“Ada (permohonan parti lain menyertai GPS)... tapi tunggu kita tubuh dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak Laut di sini semalam.
Terdahulu, jawatankuasa Protem GPS yang diketuai setiap Presiden dan Setiausaha di kalangan empat parti yang membentuk GPS ini telah menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh perasmiannya.
GPS kini dianggotai empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Bercakap mengenai hala tuju GPS, Abang Zohari memberitahu biarlah GPS ini ditubuhkan secara rasmi dahulu sebelum beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan.
“Biar kami tubuh dulu, kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan seperti menubuhkan jawatankuasa teknikal, merangka perlembagaan dan logo serta banyak lagi," ujarnya.
Ditanya mengenai persamaan GPS dengan Barisan Nasional (BN), Abang Zohari dengan tegas bahawa GPS tidak sama dengan BN.
"GPS adalah sebuah gabungan parti baharu dan tidak sama seperti BN," tegasnya.
Jika dahulu BN Sarawak yang dianggotai empat komponen PBB, SUPP, PRS dan PDP dinaungi BN Pusat, tetapi GPS ini akan dikendalikan parti kita sendiri.
"Sarawak kini dikendalikan oleh parti kita sendiri, kita ada blok sendiri,” katanya.
No comments