Cerita Najib Mahu 'Lari' Melalui Langkawi Adalah Berita Palsu - Polis
ALOR SETAR - Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kononnya Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ingin melarikan diri ke luar negara melalui Langkawi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata penyebaran berita seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.
Beliau berkata polis sedia maklum dengan kedatangan Najib serta keluarga ke pulau pelancongan itu untuk bercuti.
"Beliau (Najib) datang ke Langkawi hanya untuk bercuti bersama keluarga dan ada bertemu dengan bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) serta pemimpin lain.
"Bagaimanapun ia hanya perjumpaan biasa dan bukannya diadakan mesyuarat sebaliknya beliau sudah dua hari bermain golf di pulau itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zainal berkata, lagipun pegawai keselamatan bekas Perdana Menteri itu pun ada bersamanya di Langkawi.
Dakwaan Najib dan Rosmah kononnya mahu melarikan diri melalui Langkawi ke Myanmar sebelum ke China dan seterusnya ke negara mentua anak perempuannya di Almaty, Kazakhstan viral dalam media sosial apabila mereka dilihat membawa 30 beg.
Seorang pemilik akaun FB dalam statusnya meminta polis memantau pergerakan Najib yang didakwa khuatir akan melarikan diri ke luar negara.
Najib yang masih dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa kes berkaitan dilarang ke luar negara sejak Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei lalu. -BH Online
No comments