Header Ads

Header ADS

APMM Wilayah Sarawak Tahan 37 Bot Nelayan Asing, Tertinggi Sejak 13 Tahun Lepas


KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak telah menahan 37 bot nelayan asing yang menangkap ikan tanpa kebenaran dalam kawasan perairan negara sepanjang tahun lepas, rekod jumlah penahanan tertinggi sejak awal penubuhannya sekitar 13 tahun lalu.

Berdasarkan statistik yang disampaikan kepada Bernama, sejak 2006 sehingga Mei lepas, APMM Wilayah Sarawak telah menahan 140 buah bot nelayan asing, dengan jumlah tertinggi yang dicatatkan adalah tahun lepas, kebanyakannya membabitkan nelayan dari Vietnam.

Trend peningkatan jumlah bot nelayan asing yang ditahan ini boleh dilihat bermula sejak 2014 apabila daripada dua bot yang ditahan pada tahun itu, jumlahnya meningkat kepada 11 pada 2015, dan 14 pada tahun 2016, sebelum melonjak lebih dua kali ganda pada tahun lepas.

Tahun ini pula sehingga Mei lepas, lima bot nelayan asing kebanyakannya membabitkan warga Vietnam ditahan oleh APMM Wilayah Sarawak kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di kawasan perairan negara.

“Pada 23 Mei lepas, kita tahan dua bot nelayan asing bersama 47 kru yang didapati menyamar sebagai bot kargo tempatan untuk menangkap ikan dalam kawasan perairan negara kira-kira 170 batu nautika dari Tanjung Po di sini. Semua kru adalah warga Vietnam,” kata Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah baru-baru ini.

Dari segi jumlah tangkapan, statistik itu menunjukkan 1,042 tangkapan dibuat APMM Sarawak berkaitan pelbagai kesalahan di kawasan perairan negara sejak 2006, dan trajektori meningkat ditunjukkan sejak 2013 dengan penahanan 46 nelayan asing, meningkat kepada 73 pada tahun 2014, 79 pada tahun 2015, dan 90 pada tahun 2016.

Tahun lepas sebanyak 108 tangkapan dibuat, dan jumlah tertinggi tangkapan oleh APMM Wilayah Sarawak dicatatkan pada tahun 2010 yang menjangkau 173 tangkapan. -BERNAMA

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.